SELAMAT DATANG.....

Anda adalah pengunjung yang ke

Monday, August 17, 2009

SELAMAT MENYAMBUT BULAN KEMERDEKAAN









Selamat Menyambut bulan kemerdekaan yang ke 52 kepada semua rakyat Malaysia. Kepada golongan muda, hayatilah erti kemerdekaan ini dengan sebenar-benarnya. Sesungguhnya mengisi kemerdekaan itu adalah lebih sukar kerana kita sering terlupa mengingati sejarah. Kibarkanlah Jalur Gemilang sebagai salah satu usaha kita menyemarakkan bulan kemerdekaan ini.

Saturday, August 15, 2009

MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT PERWAKILAN 3 SAYAP DAN PERSIDANGAN MESYUARAT PERWAKILAN PUTERI UMNO BAHAGIAN IPOH TIMOR


Perasmian Mesyuarat Perwakilan 3 Sayap UMNO Bahagian Ipoh Timor 2009


Persidangan Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Ipoh Timor 2009


Ahli-Jawatankuasa UMNO Ipoh Timor 2009 bergambar kenangan bersama Wakil Badan Perhubungan Puteri UMNO Negeri Perak

IPOH - Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor bagi tahun 2009 telah dirasmikan secara serentak bersama Pergerakan Wanita dan Pemuda UMNO Bahagian. Perasmian disempurnakan oleh YB Senator Dato' Azian bin Osman, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor.

Di dalam ucapan perasmian, YB Dato' telah menyeru golongan muda agar memainkan peranan dalam menarik kembali minat orang-orang muda untuk memberikan sokongan kepada Barisan Nasional dan UMNO. Beliau turut berpesan agar golongan muda tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan yang dibawa oleh pembangkang terutamanya oleh pengkhianat bangsa seperti Anwar Ibrahim.

"Pemuda dan Puteri harus memperbanyakkan program-program penerangan isu-isu semasa agar anak-anak muda sekarang tidak terkeliru dengan cerita-cerita dan dakyah yang dibawa oleh pembangkang. Program turun padang yang melibatkan aktiviti bersama masyarakat yang dianjurkan Wanita juga harus melibatkan sama golongan muda. Lihatlah masalah yang di hadapi di bawah serta jadilah mata dan telinga kepada pemimpin di atas supaya semua orang berperanan di dalam menangani masalah rakyat, " katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan 3 Sayap tersebut.

YB Senator Dato' juga turut merasmikan pelancaran blog Puteri dan bersempena dengan bulan kemerdekaan yang ke 52, Puteri telah mengambil inisiatif melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang dengan mengedarkan Jalur Gemilang kepada semua perwakilan.

PELANCARAN BLOG PUTERI IPOH TIMOR



IPOH - Pergerakan Puteri UMNO Ipoh Timor melancarkan laman blognya sebagai wadah sayap parti itu menyebarkan maklumat mengenai aktivitinya serta dasar kerajaan. Laman blog itu juga diwujudkan sebagai saluran untuk penduduk di peringkat akar umbi memberi maklumbalas terhadap Pergerakan itu dan Kerajaan bagi membolehkan tindakan diambil.

Ketua Puterinya, Rosniza Ismail berkata, blog itu telah dilancar pada Januari lalu selaras perkembangan dunia di mana maklumat berada di hujung jari. Menurutnya, ia adalah saluran baru kepada ahli dan juga orang ramai mendapatkan maklumat mengenai Pergerakan Sayap Parti UMNO dan aktiviti terkini Pergerakan itu.

"Kita sedia maklum bahawa golongan muda terutamanya pada hari ini sering menggunakan kecanggihan internet sebagai salah satu cara mendapatkan bahan rujukan dan kita ambil peluang ini untuk buat satu blog khusus untuk memberi maklumat kepada orang ramai".

"Selain itu, kita juga sediakan platform ini untuk orang ramai mendapatkan maklumat mengenai pergerakan kami, aktiviti yang kami adakan dan kami salurkan maklumat mengenai isu politik semasa di tanah air, " katanya kepada Sinar Harian pada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor.

Pelancaran laman blog itu disempurnakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor, YB Senator Dato' Azian Osman.

Rosniza berkata, kajian selepas Pilihanraya Umum ke-12 menunjukkan faktor kemerosotan sokongan kepada UMNO disebabkan kejayaan pembangkang menggunakan media alternatif berkenaan. "Golongan muda cenderung kepada pembangkang kerana laman blog itu berjaya menarik perhatian mereka dengan cerita tidak sahih serta tidak berfakta berhubung UMNO".

"Kita cuba wujudkan platform agar orang ramai khususnya golongan muda mendapatkan maklumat sahih dan kita juga sebagai sayap Pergerakan UMNO dapat menangkis serangan dicetuskan pembangkang, " katanya.

Selain itu, Puteri turut menghubungkan laman blog itu dengan laman web 'Facebook' yang semakin mendapat perhatian golongan anak-anak muda hari ini. "Kita sediakan perkhidmatan ini agar semua pihak tidak kira daripada apa jua parti untuk berbincang, berdebat dan mengeluarkan pendapat masing-masing berhubung sesuatu isu yang ditimbulkan dalam blog kami".

"Kita juga dapat lihat sejak diadakan papan debat di blog, Puteri telah lebih berani tampil dengan idea dan pandangan mereka sendiri dan sedikit sebanyak telah membantu ahli kami mengeluarkan fakta yang bernas untuk menangkis dakyah daripada pihak pembangkang," katanya.

Beliau berharap golongan muda dapat memahami bahawa Puteri UMNO bukan pergerakan politik semata-mata dan berharap mereka dapat bersama-sama UMNO pada masa akan datang.

Sumber Berita : Sinar Harian @ PERAK - Isnin 17 Ogos 2009 (m/s P6)

Friday, August 14, 2009

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak

Puteri UMNO Ipoh Timor ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan kepada seluruh umat Islam. Manfaatkanlah bulan yang penuh kemuliaan ini dengan amalan-amalan yang diberkati dan diredhai, InsyaAllah...

Thursday, August 6, 2009

JEMPUTAN KE MESYUARAT PERWAKILAN PUTERI UMNO BAHAGIAN IPOH TIMOR 2009

Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor bagi tahun 2009 telah ditetapkan oleh UMNO Bahagian untuk dijalankan secara serentak bersama sayap Wanita dan Pemuda pada tarikh, masa dan tempat seperti berikut :-

Tarikh : 15 Ogos 2009 (Sabtu)
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Grand Ballroom, Hotel Impiana Casuarina, Jalan Raja Dr Nazrin Shah, Ipoh, Perak

Sehubungan itu, semua perwakilan yang telah dipilih di dalam Persidangan Tahunan Puteri UMNO Cawangan-cawangan yang lalu hendaklah hadir pada masa yang telah ditetapkan. Kerjasama daripada semua perwakilan adalah amat diharapkan. Ahli-ahli Puteri yang lain juga adalah dijemput untuk bersama-sama menghadiri mesyuarat ini.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Urusetia UMNO Bahagian (Sdri Mornee) di no. talian 05-2557076 / 2422242.

Sunday, August 2, 2009

PROGRAM MESRA PUTERI BERSAMA KANAK-KANAK SPASTIK















Selaras dengan tema Puteri iaitu 'Generasi Wanita Prihatin', Puteri Ipoh Timor melalui Biro Kebajikannya telah mengadakan Program Mesra Puteri Bersama Kanak-kanak Spastik pada hari Sabtu - 1 Ogos 2009 bertempat di Pusat Harian Kanak-kanak Spastik Bandar Ipoh. Rombongan Puteri Ipoh Timor telah disambut dengan perasaan gembira oleh kanak-kanak di Pusat Harian tersebut.

Pelbagai acara seperti senaman poco-poco, tarian, musical chair, bola beracun dan sebagainya turut bersama-sama dilakukan oleh ahli-ahli Puteri dengan kanak-kanak di pusat tersebut. Keriangan dan kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka apabila diberi layanan mesra oleh puteri-puteri yang hadir memeriahkan program tersebut.

Puteri Ipoh Timor juga turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan seperti beras, gula, milo dan sebagainya kepada pihak pengurusan bagi menampung keperluan mereka di dalam menjaga kanak-kanak di pusat tersebut.









Kemesraan jelas terserlah antara kedua-duanya

Program tersebut diakhiri dengan acara memotong kek bersempena sambutan harijadi Saudari Farah Hana, AJK Puteri Bahagian yang jatuh pada hari tersebut. Acara tersebut menjadi begitu meriah dengan nyanyian 'Selamat Harijadi' yang begitu bersemangat dari kanak-kanak dan puteri-puteri yang hadir. Sebelum beredar pulang, mereka dijamu dengan hidangan tengahari 'Kentucky Fried Chicken' yang dibawa khas oleh Puteri.

Sesungguhnya, program sebegini telah memberikan kesan yang mendalam di hati setiap puteri yang hadir dengan keazaman untuk terus menggiatkan program-program yang mendekati masyarakat.

Saturday, August 1, 2009

LAWATAN SETIAUSAHA BADAN PERHUBUNGAN UMNO NEGERI PERAK KE PEJABAT URUSETIA UMNO BAHAGIAN















UMNO Bahagian Ipoh Timor merasa amat bertuah kerana menjadi Bahagian pertama menerima kunjungan YB Dato' Mohd Khusairi Talib selaku Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak untuk program beliau yang dikenali sebagai 'SUPKEBA' - Setiausaha UMNO Perhubungan Turun Ke Bahagian. Beliau berserta rombongan dari Pejabat Urusetia UMNO Negeri Perak telah melawat sekitar Pejabat Urusetia UMNO Bahagian dan mengadakan majlis penerangan bersama kepimpinan bahagian. Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah YB Dato' Nadzri Ismail selaku Setiausaha Eksekutif Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak dan Saudara Hamdan Taha selaku Pegawai Khas YAB Menteri Besar Perak.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YB Senator Dato' Azian Osman, Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor dan kemudiannya taklimat oleh YB Dato' Mohd Khusairi diikuti oleh YB Dato' Nadzri. Program menggerakkan ahli turut dilancarkan dalam usaha untuk memantapkan Parti khususnya di Negeri Perak.

Thursday, July 30, 2009

LAWATAN TURUN PADANG DATUK BANDAR IPOH KE KAMPUNG SERI KINTA

Pada 29 Julai 2009 yang lalu, penduduk-penduduk Kg Seri Kinta merasa amat bertuah apabila telah dikunjungi oleh Datuk Bandar Ipoh, Ybhg Dato' Haji Roshidi Hashim bersama-sama dengan rombongan pegawai-pegawainya bagi bersama-sama membincangkan isu-isu atau masalah-masalah yang timbul di kampung tersebut.

Hasil kunjungan tersebut, banyak masalah yang dikemukakan oleh penduduk kampung dapat diselesaikan segera. Datuk Bandar Ipoh juga turut mengumumkan sejumlah RM50 ribu telah diluluskan untuk membina padang permainan kanak-kanak di hadapan sekolah agama rakyat di kampung tersebut. Beliau juga memaklumkan bahawa usaha sedang dibuat untuk menyambung semula kemudahan pengangkutan bas ke kampung itu yang terhenti sejak lapan tahun lalu.

Turut hadir di dalam kunjungan tersebut bagi pihak tuan rumah ialah YB Senator Dato' Azian Osman selaku Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor, Ybhg Dato' Mohamad Raduan Kasim selaku Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor merangkap Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Encik Zulkifli Abdul Hamid selaku Setiausaha UMNO Bahagian Ipoh Timor yang juga merangkap Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Encik Tanian Mohd Ali selaku Ketua UMNO Cawangan Kg Seri Kinta merangkap Pengerusi JKK Kg Seri Kinta, Puan Rosniza Ismail, Ketua Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor serta ahli-ahli jawatankuasa JKK Kg Seri Kinta.

Wednesday, July 29, 2009

MAJLIS PENERANGAN DAN SESI DIALOG 'DERAF CADANGAN KONSEP PEMILIHAN DAN PINDAAN PERLEMBAGAAN UMNO'


Biro Penerangan UMNO Bahagian Ipoh Timor telah mengadakan Majlis Penerangan dan Sesi Dialog mengenai 'Deraf Cadangan Konsep Pemilihan dan Pindaan Perlembagaan UMNO' pada 27 Julai 2009 yang lalu bertempat di Dewan Taklimat, Tingkat 1, Bangunan UMNO Negeri Perak. Majlis ini diadakan bertujuan untuk mendapatkan maklumbalas dari peringkat akar umbi terutamanya dari ahli-ahli di cawangan-cawangan mengenai konsep pemilihan yang telah dicadangkan oleh UMNO Malaysia. Lebih kurang 200 orang peserta yang telah hadir yang terdiri daripada Ketua-ketua dan Timbalan-timbalan Ketua UMNO Cawangan berserta Ketua-ketua dan Naib-naib Ketua 3 Sayap Pergerakan UMNO Cawangan, Setiausaha-setiausaha UMNO Cawangan dan Ketua-ketua Penerangan UMNO Cawangan.

Taklimat dan perbincangan deraf tersebut telah dikendalikan oleh Ketua UMNO Bahagian sendiri iaitu YB Senator Dato' Azian Osman. Pelbagai maklumbalas dan pendapat telah diterima dan ianya merupakan satu perbincangan yang baik dalam usaha memartabatkan Parti. Segala pendapat yang diberikan akan dikumpulkan dan dibawa ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Usul UMNO Bahagian untuk dibawa dan dibahaskan di dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian yang akan diadakan pada 16 Ogos 2009.

Usaha yang telah diambil oleh Biro Penerangan UMNO Bahagian ini adalah satu langkah yang amat baik kerana ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi bukan sahaja telah diberi peluang untuk mengemukakan pandangan masing-masing tetapi juga diberikan kefahaman tentang Perlembagaan UMNO.

Sunday, July 26, 2009

PROGRAM B2R - BANTERAS RAGUT DAN ROGOL DI DATARAN MERDEKA KUALA LUMPUR

Puteri UMNO Ipoh Timor telah menghantar seramai 12 orang peserta untuk menjayakan Program B2R - Banteras Ragut & Rogol yang disempurnakan oleh YAB Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri kepada YAB Perdana Menteri Malaysia. Rombongan yang bertolak pada jam 6.30 pagi telah selamat sampai ke Dataran Merdeka lebih kurang jam 8.30 pagi. Majlis dimulakan lebih kurang jam 9.15 pagi dengan sambutan ketibaan Tetamu Kehormat dan diteruskan dengan nyanyian Negaraku, Bersatu Bersetia Berkhidmat dan Lagu Puteri. Tetamu yang hadir juga turut dipersembahkan dengan sketsa pendek berkenaan kejadian ragut.

Di dalam ucapan alu-aluan oleh YB Dato' Rosnah Abdul Rashid Sirlin selaku Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, beliau telah memaklumkan bahawa Tabung B2R turut dilancarkan bertujuan untuk membantu keluarga mangsa-mangsa ragut dan rogol. Beliau turut menggesa ahli-ahli Puteri supaya mengambil langkah berhati-hati ketika berada di luar memandangkan jenayah ragut ini tidak mengenal usia.

YAB Datin Paduka Seri Rosmah Mansor di dalam ucapan perasmiannya turut memuji usaha Puteri UMNO Malaysia yang amat prihatin dalam membantu kerajaan mengurangkan kadar jenayah di dalam negara ini. Beliau juga menyeru masyarakat agar sama-sama berganding bahu dalam usaha membanteras jenayah ragut dan rogol yang sering menjadikan wanita sebagai mangsa. Beliau seterusnya melancarkan Tabung B2R yang telah berjaya mengutip sumbangan yang agak tinggi dari para dermawan yang hadir pada majlis tersebut.

Para peserta kemudiannya dilepaskan untuk acara 'walkabout' dan Puteri Ipoh Timor telah menyertai 'walkbout' dari Dataran Merdeka ke laluan LRT dan seterusnya ke Sogo. Para peserta 'walkabout' telah ditugaskan mengedarkan risalah-risalah yang mengandungi maklumat mengenai statistik kejadian ragut dan langkah-langkah menghadapi jenayah ragut dan rogol. Pelbagai acara turut dijalankan dalam program tersebut, antaranya Pertandingan Bola Jaring, Karaoke, Demonstrasi oleh Jabatan Bomba, Persembahan Artis Jemputan, Gerai-gerai Pameran dan Jualan oleh pelbagai agensi.















Walaupun dalam keadaan cuaca yang agak panas dan berasa sedikit keletihan, tetapi ahli-ahli Puteri Ipoh berasa sangat gembira dan berpuashati kerana telah turut sama turun berjumpa dengan warga kota Kuala Lumpur dalam usaha menyampaikan maklumat untuk membanteras jenayah ragut dan rogol. Puteri Ipoh Timor akhirnya bertolak pulang ke Ipoh lebih kurang jam 4.00 petang.

Tuesday, July 21, 2009

PELANCARAN KEMPEN BANTERAS RAGUT & ROGOL - B2R


Dalam usaha menangani dan memerangi jenayah yang sering menjadikan golongan wanita sebagai mangsa, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia telah mengambil inisiatif untuk melancarkan 'Kempen Banteras Ragut & Rogol' yang dinamakan Kempen B2R. Kempen ini akan dilancarkan pada tarikh, masa dan tempat seperti berikut :-

Tarikh : 25 Julai 2009 (Sabtu)
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Dataran Merdeka, Kuala Lumpur

Sehubungan itu, semua ahli Puteri adalah dijemput hadir beramai-ramai bagi menjayakan kempen tersebut. Pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Sdri Ija (Penolong Setiausaha Puteri Bahagian) di talian : 0125657797.

Friday, July 17, 2009

MESYUARAT PERWAKILAN PUTERI UMNO BAHAGIAN KUALA KANGSAR

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor telah ditugaskan oleh Badan Perhubungan Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perak sebagai Wakil Perhubungan Puteri Negeri ke Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Kuala Kangsar yang telah sempurna dilaksanakan pada hari Jumaat - 17 Julai 2009 yang lalu. Mesyuarat tersebut yang diadakan di Dewan Orang Ramai Bukit Chandan pada jam 3.30 petang telah sempurna dirasmikan oleh YB Datuk Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar merangkap ADUN Bukit Chandan.

Di dalam ucapan perasmian tersebut, beliau menyingkap serba sedikit sejarah penubuhan Puteri dan menyeru kepada semua ahli Puteri agar melakukan satu pendekatan yang berkesan dalam usaha mendampingi masyarakat terutamanya golongan muda. Beliau juga turut menyampaikan 'Selendang Putih' berserta dua buah puisi kepada setiap perwakilan sebagai satu simbolik perjuangan.
Puan Nurul Husna, Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Kangsar membacakan puisi bersama dengan ahli-ahlinya.

Puan Rosniza bersama dengan Jawatankuasa Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor yang hadir sebagai wakil.

Mesyuarat berakhir lebih kurang jam 6.30 petang dengan bacaan puisi beramai-ramai oleh semua perwakilan yang hadir. Tahniah dan syabas kepada Puteri UMNO Bahagian Kuala Kangsar yang telah selamat menjalankan persidangan mereka.

Sunday, July 12, 2009

KELAS MASAKAN SIRI 2 - CARROT CAKE & CHOCOLATE CUPCAKE




































Kelas Masakan Cupcake Siri 2 telah berjalan dengan jayanya dengan kehadiran lebih ramai peserta daripada Kelas Siri 1. Mungkin kerana melihat kejayaan rakan-rakan yang telah beransur mahir dalam membuat dan menghias cupcake. Resipi yang dipelajari dalam Kelas Siri ke-2 ini adalah cara-cara membuat Kek Karot dan Kek Cawan Coklat. Kelas Siri ke-3 akan diteruskan lagi dengan pelbagai resipi yang lain pula. Kepada ahli-ahli Puteri yang berminat, jangan lupa untuk hadir bersama-sama mempelajari pelbagai ilmu masakan ini.