SELAMAT DATANG.....

Anda adalah pengunjung yang ke

Sunday, January 31, 2010

MAJLIS GRADUASI KURSUS 1PUTERI SANG SAKA BANGSA



Bertempat di Kem PLKN Kg Baharu (L) Ayer Tawar, Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perak dengan kerjasama Sekretariat Latihan UMNO Negeri Perak telah menganjurkan Majlis Graduasi Kursus 1Puteri Sang Saka Bangsa yang dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Dr Zambry bin Abdul Kadir. Majlis ini telah menghimpunkan seramai 683 peserta daripada ambilan pertama, kedua, ketiga, keempat dan kelima kursus tersebut yang telah dijalankan sebelum ini secara berperingkat-peringkat bermula dengan Siri 1 pada 4 Disember 2009 dan berakhir dengan Siri 5 pada 31 Januari 2010. Turut hadir bersama dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Sekretariat Latihan UMNO Negeri Perak, YB Dato' Saarani Haji Muhammad.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor, Sdri Rosniza Ismail
menerima Sijil Tamat Kursus dari YAB Menteri Besar Perak

Antara peserta-peserta Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor yang hadir

Dalam Majlis Graduasi tersebut, ahli-ahli Puteri telah melafazkan Ikrar di hadapan YAB Datuk Seri sebagai janji bahawa Puteri akan turun melaksanakan segala tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh parti dalam menghadapi PRU13. YAB Datuk Seri turut menyampaikan Sijil Tamat Kursus kepada Ketua-ketua Puteri Bahagian yang mewakili kesemua peserta yang hadir. Beliau turut menegaskan dalam ucapan perasmiannya bahawa tenaga orang muda amatlah diperlukan dalam menghadapi cabaran masa kini. Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan semangat yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Puteri.

Sunday, January 17, 2010

KARNIVAL UMNO JUARA RAKYAT PERINGKAT BAHAGIAN IPOH TIMOR


AHAD 17 Januari 2010 - UMNO Bahagian Ipoh Timor melalui Sekretariat Keahlian dan Daftar Pemilihnya telah menganjurkan 'Karnival UMNO Juara Rakyat' bertempat di Dataran Kg Temiang, Ipoh. Karnival yang berlangsung selama satu hari tersebut telah menyediakan acara-acara yang menarik serta pelbagai gerai pameran dan jualan untuk disertai dan dilawati oleh pengunjung-pengunjung karnival. Selain daripada itu, kaunter semakan dan daftar pemilih juga turut dibuka bagi menggalakkan kempen daftar pemilih kepada masyarakat yang tinggal di sekitar Parlimen Ipoh Timor terutamanya golongan muda-mudi yang telah layak mendaftar.

Antara pertandingan yang telah dijalankan sepanjang karnival tersebut ialah Pertandingan Memasak Bubur Asyura anjuran Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Ipoh Timor, Pertandingan Karom dan Dam Aji anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Timor dan Pertandingan Karaoke Bintang Kecil serta Pertandingan Mewarna Untuk Kanak-kanak anjuran Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor. Kesemua pertandingan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Karnival tersebut telah dimulakan pada sebelah pagi dengan acara Senamrobik Bersama Puteri diikuti dengan Majlis Pelancaran Persatuan Ibu Tunggal Cekal yang telah disempurnakan oleh YBhg Dato' Mohd Raduan Mohd Kasim, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor. Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Pengerusi Barisan Nasional Parlimen Ipoh Timur, Dato' Thong Fah Chong serta Ketua Pemuda MCA Ipoh Timur.

Perasmian penutup telah disempurnakan oleh YB Senator Dato' Azian bin Osman, Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia. Dalam ucapan perasmiannya, beliau telah menyeru ahli-ahli UMNO supaya sentiasa mendekati rakyat dan mengambil berat hal kebajikan rakyat jika mahu menjadi Juara Rakyat. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada semua pemenang-pemenang pertandingan. Lebih 1,000 orang dianggarkan telah mengunjungi karnival tersebut.

Saturday, January 16, 2010

MAJLIS GOTONG ROYONG MEMASAK BUBUR ASYURA ANJURAN BERSAMA PUTERI UMNO ZON KINTA

Sabtu 16 Jan 10 - Bertempat di Kg Pengkalan Baharu Sindu, satu Majlis Gotong Royong Memasak Bubur Asyura telah dianjurkan oleh Pergerakan Puteri UMNO Bahagian-bahagian Zon Kinta iaitu Gopeng, Tambun, Ipoh Barat, Ipoh Timor dan Batu Gajah. Majlis gotong royong yang telah bermula seawal jam 8.00 pagi telah dihadiri oleh penduduk setempat dan ahli-ahli Puteri Bahagian yang terlibat. Turut hadir menjayakan Majlis Gotong Royong tersebut adalah Ketua Puteri UMNO Negeri Perak, Sdri Salbiah Mohamed, Ketua Puteri UMNO Bahagian Gopeng, Sdri Juliliyana dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Tambun, Sdri Azanarita.

Puteri Tambun dan Gopeng berganding bahu bersama-sama mengacau bubur Asyura

Antara ahli-ahli Puteri Bahagian-bahagian yang terlibat menjayakan Majlis tersebut

Ahli-ahli Puteri bekerjasama dengan penduduk-penduduk kampung

Program yang bertujuan untuk memupuk semangat gotong royong di antara ahli-ahli Puteri dan masyarakat setempat ini telah dikendalikan oleh Puteri UMNO Bahagian Gopeng selaku tuanrumah dan mendapat kerjasama sepenuhnya dari Puteri UMNO Negeri Perak. Bubur Asyura yang telah siap dimasak kemudiannya diagih-agihkan kepada penduduk setempat.




Sunday, January 10, 2010

BENGKEL STRATEGI MENAWAN PENGUNDI MUDA

Puteri Ipoh Timor bergambar kenangan bersama YB Datuk Seri Azalina

Antara peserta yang hadir, sedang menyiapkan tugasan pembentangan

Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perak telah menganjurkan Bengkel Strategi Menawan Pengundi Muda pada hari Ahad (10 Januari 2010) bertempat di Dewan UMNO Negeri Perak. Tujuan bengkel tersebut diadakan adalah untuk mempersiapkan ahli-ahli Puteri menghadapi PRU13. Seramai 160 orang peserta dari 24 Puteri Bahagian di Negeri Perak telah menjayakan bengkel tersebut yang dirasmikan oleh Mantan Ketua Puteri UMNO Malaysia, YB Datuk Seri Dr Azalina binti Othman Said. Semoga ahli-ahli Puteri dapat memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi daripada bengkel tersebut.

Sunday, January 3, 2010

SELAMAT MELANGKAH KE SEKOLAH...

Minggu ini adalah minggu yang sibuk bagi kebanyakan ahli-ahli Puteri kerana ramai anak-anak Puteri yang menjejakkan kaki ke Tahun 1. Pelbagai ragam dan kerenah yang dapat dilihat apabila pertama kali merasai suasana alam persekolahan. Bagi golongan ibu muda di luar sana yang turut berkongsi pengalaman menghantar anak ke Tahun 1, marilah kita sama-sama berdoa agar anak-anak kita dilapangkan dada mereka dalam menerima ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru.



Sesungguhnya tanggungjawab wanita muda yang merupakan ibu kepada pewaris bangsa, pada masa yang sama juga sebagai isteri kepada seorang suami serta pekerja kepada seorang majikan amatlah berat. Puteri doakan agar kita dipermudahkan dan diberikan kekuatan dalam melaksanakan amanah ini. Tangan yang menghayun buaian itu bisa menggoncang dunia.......

Friday, January 1, 2010

SELAMAT TAHUN BARU 2010


Apa azam tahun baru anda? Setiap tahun kita dilontarkan dengan soalan yang sama apabila menjelangnya tahun baru. Berazam untuk menjadi bertambah baik daripada sebelumnya......itulah jawapan yang paling biasa kita dengar. Tapi persoalannya adakah kita telah melakukan yang terbaik dalam tempoh setahun yang berlalu. Apa yang penting kita perlu muhasabah diri kita. Kita jangan hanya melihat apa yang telah kita usahakan tetapi kita perlu melihat apa yang belum kita selesaikan. Selamat Tahun Baru kepada semua. Semoga apa yang kita cita-citakan akan tercapai, kalau pun tidak sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha ke arah untuk mencapainya....