SELAMAT DATANG.....

Anda adalah pengunjung yang ke

Sunday, January 17, 2010

KARNIVAL UMNO JUARA RAKYAT PERINGKAT BAHAGIAN IPOH TIMOR


AHAD 17 Januari 2010 - UMNO Bahagian Ipoh Timor melalui Sekretariat Keahlian dan Daftar Pemilihnya telah menganjurkan 'Karnival UMNO Juara Rakyat' bertempat di Dataran Kg Temiang, Ipoh. Karnival yang berlangsung selama satu hari tersebut telah menyediakan acara-acara yang menarik serta pelbagai gerai pameran dan jualan untuk disertai dan dilawati oleh pengunjung-pengunjung karnival. Selain daripada itu, kaunter semakan dan daftar pemilih juga turut dibuka bagi menggalakkan kempen daftar pemilih kepada masyarakat yang tinggal di sekitar Parlimen Ipoh Timor terutamanya golongan muda-mudi yang telah layak mendaftar.

Antara pertandingan yang telah dijalankan sepanjang karnival tersebut ialah Pertandingan Memasak Bubur Asyura anjuran Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Ipoh Timor, Pertandingan Karom dan Dam Aji anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Timor dan Pertandingan Karaoke Bintang Kecil serta Pertandingan Mewarna Untuk Kanak-kanak anjuran Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor. Kesemua pertandingan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Karnival tersebut telah dimulakan pada sebelah pagi dengan acara Senamrobik Bersama Puteri diikuti dengan Majlis Pelancaran Persatuan Ibu Tunggal Cekal yang telah disempurnakan oleh YBhg Dato' Mohd Raduan Mohd Kasim, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor. Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Pengerusi Barisan Nasional Parlimen Ipoh Timur, Dato' Thong Fah Chong serta Ketua Pemuda MCA Ipoh Timur.

Perasmian penutup telah disempurnakan oleh YB Senator Dato' Azian bin Osman, Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia. Dalam ucapan perasmiannya, beliau telah menyeru ahli-ahli UMNO supaya sentiasa mendekati rakyat dan mengambil berat hal kebajikan rakyat jika mahu menjadi Juara Rakyat. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada semua pemenang-pemenang pertandingan. Lebih 1,000 orang dianggarkan telah mengunjungi karnival tersebut.

No comments:

Post a Comment