SELAMAT DATANG.....

Anda adalah pengunjung yang ke

Monday, August 17, 2009

SELAMAT MENYAMBUT BULAN KEMERDEKAAN









Selamat Menyambut bulan kemerdekaan yang ke 52 kepada semua rakyat Malaysia. Kepada golongan muda, hayatilah erti kemerdekaan ini dengan sebenar-benarnya. Sesungguhnya mengisi kemerdekaan itu adalah lebih sukar kerana kita sering terlupa mengingati sejarah. Kibarkanlah Jalur Gemilang sebagai salah satu usaha kita menyemarakkan bulan kemerdekaan ini.

Saturday, August 15, 2009

MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT PERWAKILAN 3 SAYAP DAN PERSIDANGAN MESYUARAT PERWAKILAN PUTERI UMNO BAHAGIAN IPOH TIMOR


Perasmian Mesyuarat Perwakilan 3 Sayap UMNO Bahagian Ipoh Timor 2009


Persidangan Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Ipoh Timor 2009


Ahli-Jawatankuasa UMNO Ipoh Timor 2009 bergambar kenangan bersama Wakil Badan Perhubungan Puteri UMNO Negeri Perak

IPOH - Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor bagi tahun 2009 telah dirasmikan secara serentak bersama Pergerakan Wanita dan Pemuda UMNO Bahagian. Perasmian disempurnakan oleh YB Senator Dato' Azian bin Osman, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor.

Di dalam ucapan perasmian, YB Dato' telah menyeru golongan muda agar memainkan peranan dalam menarik kembali minat orang-orang muda untuk memberikan sokongan kepada Barisan Nasional dan UMNO. Beliau turut berpesan agar golongan muda tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan yang dibawa oleh pembangkang terutamanya oleh pengkhianat bangsa seperti Anwar Ibrahim.

"Pemuda dan Puteri harus memperbanyakkan program-program penerangan isu-isu semasa agar anak-anak muda sekarang tidak terkeliru dengan cerita-cerita dan dakyah yang dibawa oleh pembangkang. Program turun padang yang melibatkan aktiviti bersama masyarakat yang dianjurkan Wanita juga harus melibatkan sama golongan muda. Lihatlah masalah yang di hadapi di bawah serta jadilah mata dan telinga kepada pemimpin di atas supaya semua orang berperanan di dalam menangani masalah rakyat, " katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan 3 Sayap tersebut.

YB Senator Dato' juga turut merasmikan pelancaran blog Puteri dan bersempena dengan bulan kemerdekaan yang ke 52, Puteri telah mengambil inisiatif melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang dengan mengedarkan Jalur Gemilang kepada semua perwakilan.

PELANCARAN BLOG PUTERI IPOH TIMOR



IPOH - Pergerakan Puteri UMNO Ipoh Timor melancarkan laman blognya sebagai wadah sayap parti itu menyebarkan maklumat mengenai aktivitinya serta dasar kerajaan. Laman blog itu juga diwujudkan sebagai saluran untuk penduduk di peringkat akar umbi memberi maklumbalas terhadap Pergerakan itu dan Kerajaan bagi membolehkan tindakan diambil.

Ketua Puterinya, Rosniza Ismail berkata, blog itu telah dilancar pada Januari lalu selaras perkembangan dunia di mana maklumat berada di hujung jari. Menurutnya, ia adalah saluran baru kepada ahli dan juga orang ramai mendapatkan maklumat mengenai Pergerakan Sayap Parti UMNO dan aktiviti terkini Pergerakan itu.

"Kita sedia maklum bahawa golongan muda terutamanya pada hari ini sering menggunakan kecanggihan internet sebagai salah satu cara mendapatkan bahan rujukan dan kita ambil peluang ini untuk buat satu blog khusus untuk memberi maklumat kepada orang ramai".

"Selain itu, kita juga sediakan platform ini untuk orang ramai mendapatkan maklumat mengenai pergerakan kami, aktiviti yang kami adakan dan kami salurkan maklumat mengenai isu politik semasa di tanah air, " katanya kepada Sinar Harian pada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor.

Pelancaran laman blog itu disempurnakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor, YB Senator Dato' Azian Osman.

Rosniza berkata, kajian selepas Pilihanraya Umum ke-12 menunjukkan faktor kemerosotan sokongan kepada UMNO disebabkan kejayaan pembangkang menggunakan media alternatif berkenaan. "Golongan muda cenderung kepada pembangkang kerana laman blog itu berjaya menarik perhatian mereka dengan cerita tidak sahih serta tidak berfakta berhubung UMNO".

"Kita cuba wujudkan platform agar orang ramai khususnya golongan muda mendapatkan maklumat sahih dan kita juga sebagai sayap Pergerakan UMNO dapat menangkis serangan dicetuskan pembangkang, " katanya.

Selain itu, Puteri turut menghubungkan laman blog itu dengan laman web 'Facebook' yang semakin mendapat perhatian golongan anak-anak muda hari ini. "Kita sediakan perkhidmatan ini agar semua pihak tidak kira daripada apa jua parti untuk berbincang, berdebat dan mengeluarkan pendapat masing-masing berhubung sesuatu isu yang ditimbulkan dalam blog kami".

"Kita juga dapat lihat sejak diadakan papan debat di blog, Puteri telah lebih berani tampil dengan idea dan pandangan mereka sendiri dan sedikit sebanyak telah membantu ahli kami mengeluarkan fakta yang bernas untuk menangkis dakyah daripada pihak pembangkang," katanya.

Beliau berharap golongan muda dapat memahami bahawa Puteri UMNO bukan pergerakan politik semata-mata dan berharap mereka dapat bersama-sama UMNO pada masa akan datang.

Sumber Berita : Sinar Harian @ PERAK - Isnin 17 Ogos 2009 (m/s P6)

Friday, August 14, 2009

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak

Puteri UMNO Ipoh Timor ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan kepada seluruh umat Islam. Manfaatkanlah bulan yang penuh kemuliaan ini dengan amalan-amalan yang diberkati dan diredhai, InsyaAllah...

Thursday, August 6, 2009

JEMPUTAN KE MESYUARAT PERWAKILAN PUTERI UMNO BAHAGIAN IPOH TIMOR 2009

Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor bagi tahun 2009 telah ditetapkan oleh UMNO Bahagian untuk dijalankan secara serentak bersama sayap Wanita dan Pemuda pada tarikh, masa dan tempat seperti berikut :-

Tarikh : 15 Ogos 2009 (Sabtu)
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Grand Ballroom, Hotel Impiana Casuarina, Jalan Raja Dr Nazrin Shah, Ipoh, Perak

Sehubungan itu, semua perwakilan yang telah dipilih di dalam Persidangan Tahunan Puteri UMNO Cawangan-cawangan yang lalu hendaklah hadir pada masa yang telah ditetapkan. Kerjasama daripada semua perwakilan adalah amat diharapkan. Ahli-ahli Puteri yang lain juga adalah dijemput untuk bersama-sama menghadiri mesyuarat ini.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Urusetia UMNO Bahagian (Sdri Mornee) di no. talian 05-2557076 / 2422242.

Sunday, August 2, 2009

PROGRAM MESRA PUTERI BERSAMA KANAK-KANAK SPASTIK















Selaras dengan tema Puteri iaitu 'Generasi Wanita Prihatin', Puteri Ipoh Timor melalui Biro Kebajikannya telah mengadakan Program Mesra Puteri Bersama Kanak-kanak Spastik pada hari Sabtu - 1 Ogos 2009 bertempat di Pusat Harian Kanak-kanak Spastik Bandar Ipoh. Rombongan Puteri Ipoh Timor telah disambut dengan perasaan gembira oleh kanak-kanak di Pusat Harian tersebut.

Pelbagai acara seperti senaman poco-poco, tarian, musical chair, bola beracun dan sebagainya turut bersama-sama dilakukan oleh ahli-ahli Puteri dengan kanak-kanak di pusat tersebut. Keriangan dan kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka apabila diberi layanan mesra oleh puteri-puteri yang hadir memeriahkan program tersebut.

Puteri Ipoh Timor juga turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan seperti beras, gula, milo dan sebagainya kepada pihak pengurusan bagi menampung keperluan mereka di dalam menjaga kanak-kanak di pusat tersebut.









Kemesraan jelas terserlah antara kedua-duanya

Program tersebut diakhiri dengan acara memotong kek bersempena sambutan harijadi Saudari Farah Hana, AJK Puteri Bahagian yang jatuh pada hari tersebut. Acara tersebut menjadi begitu meriah dengan nyanyian 'Selamat Harijadi' yang begitu bersemangat dari kanak-kanak dan puteri-puteri yang hadir. Sebelum beredar pulang, mereka dijamu dengan hidangan tengahari 'Kentucky Fried Chicken' yang dibawa khas oleh Puteri.

Sesungguhnya, program sebegini telah memberikan kesan yang mendalam di hati setiap puteri yang hadir dengan keazaman untuk terus menggiatkan program-program yang mendekati masyarakat.

Saturday, August 1, 2009

LAWATAN SETIAUSAHA BADAN PERHUBUNGAN UMNO NEGERI PERAK KE PEJABAT URUSETIA UMNO BAHAGIAN















UMNO Bahagian Ipoh Timor merasa amat bertuah kerana menjadi Bahagian pertama menerima kunjungan YB Dato' Mohd Khusairi Talib selaku Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak untuk program beliau yang dikenali sebagai 'SUPKEBA' - Setiausaha UMNO Perhubungan Turun Ke Bahagian. Beliau berserta rombongan dari Pejabat Urusetia UMNO Negeri Perak telah melawat sekitar Pejabat Urusetia UMNO Bahagian dan mengadakan majlis penerangan bersama kepimpinan bahagian. Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah YB Dato' Nadzri Ismail selaku Setiausaha Eksekutif Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak dan Saudara Hamdan Taha selaku Pegawai Khas YAB Menteri Besar Perak.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YB Senator Dato' Azian Osman, Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor dan kemudiannya taklimat oleh YB Dato' Mohd Khusairi diikuti oleh YB Dato' Nadzri. Program menggerakkan ahli turut dilancarkan dalam usaha untuk memantapkan Parti khususnya di Negeri Perak.