SELAMAT DATANG.....

Anda adalah pengunjung yang ke

Showing posts with label Persidangan/Mesyuarat. Show all posts
Showing posts with label Persidangan/Mesyuarat. Show all posts

Thursday, August 6, 2009

JEMPUTAN KE MESYUARAT PERWAKILAN PUTERI UMNO BAHAGIAN IPOH TIMOR 2009

Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor bagi tahun 2009 telah ditetapkan oleh UMNO Bahagian untuk dijalankan secara serentak bersama sayap Wanita dan Pemuda pada tarikh, masa dan tempat seperti berikut :-

Tarikh : 15 Ogos 2009 (Sabtu)
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Grand Ballroom, Hotel Impiana Casuarina, Jalan Raja Dr Nazrin Shah, Ipoh, Perak

Sehubungan itu, semua perwakilan yang telah dipilih di dalam Persidangan Tahunan Puteri UMNO Cawangan-cawangan yang lalu hendaklah hadir pada masa yang telah ditetapkan. Kerjasama daripada semua perwakilan adalah amat diharapkan. Ahli-ahli Puteri yang lain juga adalah dijemput untuk bersama-sama menghadiri mesyuarat ini.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Urusetia UMNO Bahagian (Sdri Mornee) di no. talian 05-2557076 / 2422242.

Friday, July 17, 2009

MESYUARAT PERWAKILAN PUTERI UMNO BAHAGIAN KUALA KANGSAR

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor telah ditugaskan oleh Badan Perhubungan Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perak sebagai Wakil Perhubungan Puteri Negeri ke Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Kuala Kangsar yang telah sempurna dilaksanakan pada hari Jumaat - 17 Julai 2009 yang lalu. Mesyuarat tersebut yang diadakan di Dewan Orang Ramai Bukit Chandan pada jam 3.30 petang telah sempurna dirasmikan oleh YB Datuk Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar merangkap ADUN Bukit Chandan.

Di dalam ucapan perasmian tersebut, beliau menyingkap serba sedikit sejarah penubuhan Puteri dan menyeru kepada semua ahli Puteri agar melakukan satu pendekatan yang berkesan dalam usaha mendampingi masyarakat terutamanya golongan muda. Beliau juga turut menyampaikan 'Selendang Putih' berserta dua buah puisi kepada setiap perwakilan sebagai satu simbolik perjuangan.
Puan Nurul Husna, Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Kangsar membacakan puisi bersama dengan ahli-ahlinya.

Puan Rosniza bersama dengan Jawatankuasa Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor yang hadir sebagai wakil.

Mesyuarat berakhir lebih kurang jam 6.30 petang dengan bacaan puisi beramai-ramai oleh semua perwakilan yang hadir. Tahniah dan syabas kepada Puteri UMNO Bahagian Kuala Kangsar yang telah selamat menjalankan persidangan mereka.

Thursday, July 2, 2009

35 UMNO CAWANGAN SELESAI BERMESYUARAT

30 Jun 2009 merupakan tarikh akhir untuk mengadakan persidangan tahunan UMNO cawangan-cawangan seperti yang ditetapkan oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia. Alhamdulillah, sebanyak 35 Cawangan dalam UMNO Bahagian Ipoh Timor telah selesai menjalankan persidangan tahunan masing-masing. Puteri Bahagian yang mempunyai 19 cawangan juga telah selesai mengadakan persidangan tahunan masing-masing dan 1 cawangan Puteri yang baru telah ditubuhkan menjadikan 20 cawangan kesemuanya.

Walaubagaimanapun jumlah kehadiran ahli-ahli Puteri ke Persidangan Tahunan Cawangan tahun ini agak merosot jika dibandingkan dengan tahun lalu. Harapan Puteri agar dengan adanya pelbagai aktiviti yang telah dirancang dan akan dijalankan dari semasa ke semasa akan menarik lebih ramai ahli samada yang baru atau yang lama untuk menyertai Puteri.

Mesyuarat Perwakilan Puteri Bahagian pula telah ditetapkan oleh UMNO Bahagian untuk diadakan pada 15 Ogos 2009. Selamat bersidang diucapkan kepada semua perwakilan yang telah dipilih di dalam persidangan cawangan masing-masing.

Sunday, June 21, 2009

Persidangan Tahunan Puteri UMNO Cawangan-cawangan Diteruskan

Persidangan Tahunan Puteri UMNO Cawangan Kg Pasir Puteh

Persidangan Tahunan Puteri UMNO Cawangan-cawangan bagi tahun 2009 diteruskan lagi setiap minggu mengikut yang telah dijadualkan oleh Bahagian. Pada 14 Jun 2009 sebanyak 4 cawangan Puteri telah bermesyuarat iaitu Puteri Cawangan Kg Pasir Puteh, Pinji Utara, Cempaka Sari dan Taman Shatin. Kesemua persidangan tersebut telah dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor, YB Senator Dato' Azian bin Osman. Beliau menyeru golongan muda supaya sentiasa mempunyai semangat juang yang tinggi dalam memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Pada 19 Jun 2009 bertempat di Hotel Seri Malaysia, Persidangan Tahunan Puteri Cawangan Jalan Bendahara pula telah sempurna dijalankan. Ramai AJK Puteri Bahagian yang turut hadir dalam Majlis perasmian Persidangan Cawangan tersebut yang juga disempurnakan oleh YB Senator Dato' Azian bin Osman.

Keesokan harinya pula, pada 20 Jun 2009, Puteri Cawangan Kg. Tebing Tinggi telah menjalankan persidangan tahunannya di Dewan Orang Ramai Kg Temiang. Dalam ucapan perasmiannya, YB Senator Dato' Azian telah mengingatkan golongan muda agar sentiasa bersatu dalam apa jua keadaan tambahan pula dalam menghadapi situasi kemelut politik yang melanda Negeri Perak.

Persidangan Tahunan Puteri Cawangan kemudiannya diteruskan lagi pada 21 Jun 2009 dengan 3 cawangan Puteri telah berjaya menjalankan persidangannya iaitu Puteri Cawangan Kg Seri Kinta, Kg Tok Chendang dan Taman Anda yang mana perasmiannya juga turut disempurnakan oleh YB Senator Dato' Azian.

Persidangan Tahunan Cawangan akan berakhir pada 30 Jun 2009 seperti yang telah ditetapkan oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia.

Sunday, June 7, 2009

PERSIDANGAN BERKELOMPOK UMNO CAWANGAN-CAWANGAN BAHAGIAN IPOH TIMOR


Persidangan Berkelompok UMNO Cawangan-cawangan Bahagian Ipoh Timor telah selamat dijalankan pada hari Ahad - 7 Jun 2009 bermula jam 8.30 pagi bertempat di Dewan Seruan Islam, Jalan Seruan Ipoh, Perak.

Sebanyak 15 Cawangan iaitu Cawangan Batu Bungkal, Desa Cempaka, Jalan Pasir Puteh, Jalan Seruan, Jalan Sultan Azlan Shah Selatan, Jalan Sultan Azlan Shah Utara, Pinji Timor, Pinji Barat, Pinji Bandar, Happy Garden, Taman Cempaka, Taman Cempaka Hilir, Taman Ipoh, Tiger Lane dan Jalan Kampar telah menyertai Persidangan Berkelompok ini dan Majis Perasmiannya telah disempurnakan oleh YB Senator Dato' Azian bin Osman, Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia.

Dalam ucapan alu-aluan oleh Encik Ahmad Zam Zam Azlan bin Zit selaku Pengerusi Persidangan Berkelompok, beliau telah menyorot kembali sejarah di mana Tanah Melayu pernah diperintah oleh Komunis dan beliau juga turut mengingatkan ahli-ahli UMNO khususnya generasi muda kini agar sentiasa ingat kepada sejarah dan tidak terpengaruh dengan pelbagai tuntutan yang boleh menjejaskan keharmonian negara ini.



YB Senator Dato' Azian di dalam ucapan perasmiannya menyeru ahli-ahli UMNO supaya sentiasa mempunyai semangat juang yang tinggi kepada parti. Beliau juga mengimbau kembali keadaan di Perak yang telah diperintah oleh Kerajaan Pakatan Pembangkang selama 11 bulan dan kini bersyukur kerana Barisan Nasional kembali memerintah negeri Perak. Dalam pada itu, beliau mengingatkan ahli-ahli UMNO agar bersatu dalam usaha memantapkan parti. Di akhir ucapan, beliau kelihatan agak sebak mengenangkan ketiadaan arwah abang beliau, Allahyarham Supian yang pada masa hayatnya sentiasa hadir dalam persidangan sebegini.


Pada tengaharinya pula, UMNO Cawangan Pekan Cendawan mengadakan Persidangan Tahunannya di Dewan Orang Ramai Pekan Cendawan. Persidangan Tahunan UMNO Cawangan bagi tahun 2009 ini telah bermula pada 15 Jun yang lalu dan akan berakhir pada 30 Jun sebagaimana yang telah diputuskan oleh UMNO Malaysia.

Monday, December 22, 2008

MESYUARAT PERWAKILAN PUTERI IPOH TIMOR 2008

Alhamdulillah..... Mesyuarat Perwakilan Puteri pada tahun ini berjalan dengan begitu lancar dan baik sekali. Walaupun tahun ini adalah tahun pemilihan, tetapi Puteri Ipoh Timor sekali lagi berjaya mengekalkan tradisi 'tiada pertandingan' sepertimana tahun-tahun pemilihan sebelum ini. Pertukaran tampok kepimpinan berlaku dalam suasana yang mesra dan penuh keakraban.
Namun, mesyuarat kali ini yang bermula seawal jam 11.00 pagi dan berakhir kira-kira jam 6.30 petang menyaksikan tangisan airmata yang tidak henti-henti di kalangan yang hadir terutamanya ahli-ahli jawatankuasa kerana Sdri Wiza selaku Ketua Puteri 2004-2008 terpaksa meninggalkan Puteri kerana halangan faktor usia. Ramai yang tidak dapat menahan perasaan sebak ketika mendengar ucapan terakhir Sdri Wiza yang penuh dengan amanat dan nasihat.

Kepada jawatankuasa yang baru, tahniah diucapkan dan semoga segala pesanan mantan Ketua Puteri sentiasa diingati serta dijadikan panduan dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan.