IPOH - Pergerakan Puteri UMNO Ipoh Timor melancarkan laman blognya sebagai wadah sayap parti itu menyebarkan maklumat mengenai aktivitinya serta dasar kerajaan. Laman blog itu juga diwujudkan sebagai saluran untuk penduduk di peringkat akar umbi memberi maklumbalas terhadap Pergerakan itu dan Kerajaan bagi membolehkan tindakan diambil.
Ketua Puterinya, Rosniza Ismail berkata, blog itu telah dilancar pada Januari lalu selaras perkembangan dunia di mana maklumat berada di hujung jari. Menurutnya, ia adalah saluran baru kepada ahli dan juga orang ramai mendapatkan maklumat mengenai Pergerakan Sayap Parti UMNO dan aktiviti terkini Pergerakan itu.
"Kita sedia maklum bahawa golongan muda terutamanya pada hari ini sering menggunakan kecanggihan internet sebagai salah satu cara mendapatkan bahan rujukan dan kita ambil peluang ini untuk buat satu blog khusus untuk memberi maklumat kepada orang ramai".
"Selain itu, kita juga sediakan platform ini untuk orang ramai mendapatkan maklumat mengenai pergerakan kami, aktiviti yang kami adakan dan kami salurkan maklumat mengenai isu politik semasa di tanah air, " katanya kepada Sinar Harian pada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor.
Pelancaran laman blog itu disempurnakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor, YB Senator Dato' Azian Osman.
Rosniza berkata, kajian selepas Pilihanraya Umum ke-12 menunjukkan faktor kemerosotan sokongan kepada UMNO disebabkan kejayaan pembangkang menggunakan media alternatif berkenaan. "Golongan muda cenderung kepada pembangkang kerana laman blog itu berjaya menarik perhatian mereka dengan cerita tidak sahih serta tidak berfakta berhubung UMNO".
"Kita cuba wujudkan platform agar orang ramai khususnya golongan muda mendapatkan maklumat sahih dan kita juga sebagai sayap Pergerakan UMNO dapat menangkis serangan dicetuskan pembangkang, " katanya.
Selain itu, Puteri turut menghubungkan laman blog itu dengan laman web 'Facebook' yang semakin mendapat perhatian golongan anak-anak muda hari ini. "Kita sediakan perkhidmatan ini agar semua pihak tidak kira daripada apa jua parti untuk berbincang, berdebat dan mengeluarkan pendapat masing-masing berhubung sesuatu isu yang ditimbulkan dalam blog kami".
"Kita juga dapat lihat sejak diadakan papan debat di blog, Puteri telah lebih berani tampil dengan idea dan pandangan mereka sendiri dan sedikit sebanyak telah membantu ahli kami mengeluarkan fakta yang bernas untuk menangkis dakyah daripada pihak pembangkang," katanya.
Beliau berharap golongan muda dapat memahami bahawa Puteri UMNO bukan pergerakan politik semata-mata dan berharap mereka dapat bersama-sama UMNO pada masa akan datang.
Sumber Berita : Sinar Harian @ PERAK - Isnin 17 Ogos 2009 (m/s P6)
No comments:
Post a Comment