SELAMAT DATANG.....

Anda adalah pengunjung yang ke

Sunday, February 21, 2010

PROGRAM UMNO JUARA RAKYAT BULAN KEBAJIKAN IPOH TIMOR



Pada 20/02/2010 (Sabtu), buat kali keduanya UMNO Bahagian Ipoh Timor telah menganjurkan Program Juara Rakyat bersempena dengan tema 'Kebajikan' dan diadakan di Kg. Cempaka Sari, Ipoh. Pelbagai aktiviti disediakan khususnya dalam memberi kebajikan kepada penduduk di sekitar kawasan Ipoh Timor. Antara aktiviti yang dilakukan ialah Gotong-Royong Bersama Datuk Bandar Ipoh, Kenduri Kampung, Taklimat Jabatan Kebajikan Masyarakat Perak, menziarahi OKU, melawat kawasan tanah jerlus dan membasuh kereta amal.

Puteri UMNO Ipoh Timor juga turut meraikan anak-anak yatim dari HAWA Kinta dengan mengadakan sukaneka. Selain itu, pertandingan mewarna kanak-kanak juga mendapat sambutan apabila lebih dari 100 penyertaan diterima oleh Puteri UMNO Ipoh Timor. Mengambil kesempatan dengan Bulan Kebajikan ini, Jualan Amal Lelong Pakaian Terpakai telah diadakan dibawah khemah Puteri dan hasil jualan tersebut telah diserahkan kepada rumah anak-anak yatim HAWA Kinta. Selain itu, kempen B2R (Banteras Rogol & Ragut) Peringkat Puteri UMNO Ipoh Timor telah dilancarkan dan dirasmikan oleh YB Senator Dato' Azian Bin Osman (Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor) sebagai menyedarkan masyarakat terutamanya golongan wanita untuk sentiasa menjaga kebajikan dan keselamatan diri mereka yang sering menjadi mangsa ragut.

Program berakhir pada kira-kira jam 6 petang dan kebanyakan pengunjung yang ditemui melahirkan rasa puashati dengan aturcara yang disediakan.

Saturday, February 6, 2010

SOLAT HAJAT PERDANA DAN JAMUAN BERSAMA RAKYAT PERAK

Bersempena menanti keputusan Mahkamah Persekutuan bagi memutuskan siapakah Menteri Besar Perak yang sah antara Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Dato' Seri Ir Nizar Bin Jamaludin pada 9hb Februari 2010 ini, kerajaan Barisan Nasional mengambil kesempatan untuk mengadakan Solat Hajat Perdana Bersama Rakyat Perak bagi umat Islam dan Jamuan Rakyat bagi pelbagai bangsa di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak di Ipoh. Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran begitu ramai pelbagai jenis lapisan masyarakat. Walaupun keadaan hujan yang turun agak lebat, tetamu masih tidak berganjak untuk bersama-sama YAB Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir serta kepimpinan Negeri Perak. Puteri UMNO Ipoh Timor juga tidak melepaskan peluang untuk turut bersama didalam majlis tersebut

Sunday, January 31, 2010

MAJLIS GRADUASI KURSUS 1PUTERI SANG SAKA BANGSA



Bertempat di Kem PLKN Kg Baharu (L) Ayer Tawar, Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perak dengan kerjasama Sekretariat Latihan UMNO Negeri Perak telah menganjurkan Majlis Graduasi Kursus 1Puteri Sang Saka Bangsa yang dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Dr Zambry bin Abdul Kadir. Majlis ini telah menghimpunkan seramai 683 peserta daripada ambilan pertama, kedua, ketiga, keempat dan kelima kursus tersebut yang telah dijalankan sebelum ini secara berperingkat-peringkat bermula dengan Siri 1 pada 4 Disember 2009 dan berakhir dengan Siri 5 pada 31 Januari 2010. Turut hadir bersama dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Sekretariat Latihan UMNO Negeri Perak, YB Dato' Saarani Haji Muhammad.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor, Sdri Rosniza Ismail
menerima Sijil Tamat Kursus dari YAB Menteri Besar Perak

Antara peserta-peserta Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor yang hadir

Dalam Majlis Graduasi tersebut, ahli-ahli Puteri telah melafazkan Ikrar di hadapan YAB Datuk Seri sebagai janji bahawa Puteri akan turun melaksanakan segala tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh parti dalam menghadapi PRU13. YAB Datuk Seri turut menyampaikan Sijil Tamat Kursus kepada Ketua-ketua Puteri Bahagian yang mewakili kesemua peserta yang hadir. Beliau turut menegaskan dalam ucapan perasmiannya bahawa tenaga orang muda amatlah diperlukan dalam menghadapi cabaran masa kini. Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan semangat yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Puteri.

Sunday, January 17, 2010

KARNIVAL UMNO JUARA RAKYAT PERINGKAT BAHAGIAN IPOH TIMOR


AHAD 17 Januari 2010 - UMNO Bahagian Ipoh Timor melalui Sekretariat Keahlian dan Daftar Pemilihnya telah menganjurkan 'Karnival UMNO Juara Rakyat' bertempat di Dataran Kg Temiang, Ipoh. Karnival yang berlangsung selama satu hari tersebut telah menyediakan acara-acara yang menarik serta pelbagai gerai pameran dan jualan untuk disertai dan dilawati oleh pengunjung-pengunjung karnival. Selain daripada itu, kaunter semakan dan daftar pemilih juga turut dibuka bagi menggalakkan kempen daftar pemilih kepada masyarakat yang tinggal di sekitar Parlimen Ipoh Timor terutamanya golongan muda-mudi yang telah layak mendaftar.

Antara pertandingan yang telah dijalankan sepanjang karnival tersebut ialah Pertandingan Memasak Bubur Asyura anjuran Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Ipoh Timor, Pertandingan Karom dan Dam Aji anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Timor dan Pertandingan Karaoke Bintang Kecil serta Pertandingan Mewarna Untuk Kanak-kanak anjuran Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor. Kesemua pertandingan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Karnival tersebut telah dimulakan pada sebelah pagi dengan acara Senamrobik Bersama Puteri diikuti dengan Majlis Pelancaran Persatuan Ibu Tunggal Cekal yang telah disempurnakan oleh YBhg Dato' Mohd Raduan Mohd Kasim, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor. Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Pengerusi Barisan Nasional Parlimen Ipoh Timur, Dato' Thong Fah Chong serta Ketua Pemuda MCA Ipoh Timur.

Perasmian penutup telah disempurnakan oleh YB Senator Dato' Azian bin Osman, Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia. Dalam ucapan perasmiannya, beliau telah menyeru ahli-ahli UMNO supaya sentiasa mendekati rakyat dan mengambil berat hal kebajikan rakyat jika mahu menjadi Juara Rakyat. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada semua pemenang-pemenang pertandingan. Lebih 1,000 orang dianggarkan telah mengunjungi karnival tersebut.

Saturday, January 16, 2010

MAJLIS GOTONG ROYONG MEMASAK BUBUR ASYURA ANJURAN BERSAMA PUTERI UMNO ZON KINTA

Sabtu 16 Jan 10 - Bertempat di Kg Pengkalan Baharu Sindu, satu Majlis Gotong Royong Memasak Bubur Asyura telah dianjurkan oleh Pergerakan Puteri UMNO Bahagian-bahagian Zon Kinta iaitu Gopeng, Tambun, Ipoh Barat, Ipoh Timor dan Batu Gajah. Majlis gotong royong yang telah bermula seawal jam 8.00 pagi telah dihadiri oleh penduduk setempat dan ahli-ahli Puteri Bahagian yang terlibat. Turut hadir menjayakan Majlis Gotong Royong tersebut adalah Ketua Puteri UMNO Negeri Perak, Sdri Salbiah Mohamed, Ketua Puteri UMNO Bahagian Gopeng, Sdri Juliliyana dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Tambun, Sdri Azanarita.

Puteri Tambun dan Gopeng berganding bahu bersama-sama mengacau bubur Asyura

Antara ahli-ahli Puteri Bahagian-bahagian yang terlibat menjayakan Majlis tersebut

Ahli-ahli Puteri bekerjasama dengan penduduk-penduduk kampung

Program yang bertujuan untuk memupuk semangat gotong royong di antara ahli-ahli Puteri dan masyarakat setempat ini telah dikendalikan oleh Puteri UMNO Bahagian Gopeng selaku tuanrumah dan mendapat kerjasama sepenuhnya dari Puteri UMNO Negeri Perak. Bubur Asyura yang telah siap dimasak kemudiannya diagih-agihkan kepada penduduk setempat.




Sunday, January 10, 2010

BENGKEL STRATEGI MENAWAN PENGUNDI MUDA

Puteri Ipoh Timor bergambar kenangan bersama YB Datuk Seri Azalina

Antara peserta yang hadir, sedang menyiapkan tugasan pembentangan

Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perak telah menganjurkan Bengkel Strategi Menawan Pengundi Muda pada hari Ahad (10 Januari 2010) bertempat di Dewan UMNO Negeri Perak. Tujuan bengkel tersebut diadakan adalah untuk mempersiapkan ahli-ahli Puteri menghadapi PRU13. Seramai 160 orang peserta dari 24 Puteri Bahagian di Negeri Perak telah menjayakan bengkel tersebut yang dirasmikan oleh Mantan Ketua Puteri UMNO Malaysia, YB Datuk Seri Dr Azalina binti Othman Said. Semoga ahli-ahli Puteri dapat memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi daripada bengkel tersebut.

Sunday, January 3, 2010

SELAMAT MELANGKAH KE SEKOLAH...

Minggu ini adalah minggu yang sibuk bagi kebanyakan ahli-ahli Puteri kerana ramai anak-anak Puteri yang menjejakkan kaki ke Tahun 1. Pelbagai ragam dan kerenah yang dapat dilihat apabila pertama kali merasai suasana alam persekolahan. Bagi golongan ibu muda di luar sana yang turut berkongsi pengalaman menghantar anak ke Tahun 1, marilah kita sama-sama berdoa agar anak-anak kita dilapangkan dada mereka dalam menerima ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru.



Sesungguhnya tanggungjawab wanita muda yang merupakan ibu kepada pewaris bangsa, pada masa yang sama juga sebagai isteri kepada seorang suami serta pekerja kepada seorang majikan amatlah berat. Puteri doakan agar kita dipermudahkan dan diberikan kekuatan dalam melaksanakan amanah ini. Tangan yang menghayun buaian itu bisa menggoncang dunia.......

Friday, January 1, 2010

SELAMAT TAHUN BARU 2010


Apa azam tahun baru anda? Setiap tahun kita dilontarkan dengan soalan yang sama apabila menjelangnya tahun baru. Berazam untuk menjadi bertambah baik daripada sebelumnya......itulah jawapan yang paling biasa kita dengar. Tapi persoalannya adakah kita telah melakukan yang terbaik dalam tempoh setahun yang berlalu. Apa yang penting kita perlu muhasabah diri kita. Kita jangan hanya melihat apa yang telah kita usahakan tetapi kita perlu melihat apa yang belum kita selesaikan. Selamat Tahun Baru kepada semua. Semoga apa yang kita cita-citakan akan tercapai, kalau pun tidak sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha ke arah untuk mencapainya....

Sunday, December 27, 2009

DISCOVER ENGLISH AND READ WITH PUTERI


Pada 26 Disember 2009, bertempat di Taman Dr. Seenivasagam Ipoh, Puteri UMNO Ipoh Timor sekali lagi telah mengadakan Program Discovery English And Read (DEAR) bersempena cuti sekolah untuk kanak-kanak berusia 3 hingga 12 tahun. Pelbagai aktiviti dilakukan antaranya Poison Box, Chicken Dance, Spelling Bee dan Lucky Draw.


Aktiviti Poison Box


Aktiviti Spelling Bee


Pembentukan Kumpulan bersama Kakak Puteri

Program ini adalah bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan anak-anak terutamanya dalam menghadapi persaingan budaya berilmu dalam zaman yang serba moden ini. Program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan Skuad DEAR Puteri Ipoh Timor akan turun ke kampung-kampung untuk memberikan pengajaran Bahasa Inggeris kepada anak-anak di kampung-kampung dengan menjalankan aktiviti-aktiviti yang lebih menarik.

Friday, December 25, 2009

MAJLIS PENYAMPAIAN BAUCER PAKAIAN SEKOLAH SESI 2010 PARLIMEN IPOH TIMOR

Menjelangnya sesi persekolahan yang hampir dibuka tidak lama lagi, UMNO Bahagian Ipoh Timor sekali lagi telah menyampaikan bantuan persekolahan kepada anak-anak yang kurang berkemampuan yang tinggal di dalam Parlimen Ipoh Timor. Bantuan berbentuk baucer pakaian sekolah dan beg sekolah 1Malaysia telah disampaikan oleh YB Senator Dato Azian bin Osman kepada 400 orang penerima yang terdiri daripada pelajar-pelajar Tahun 1 hinggalah ke Tingkatan 5. Ini adalah salah satu langkah UMNO Bahagian Ipoh Timor mendekati rakyat dalam memastikan golongan yang kurang berkemampuan ini diberi perhatian sewajarnya khususnya dalam bidang pendidikan.




YB Senator Dato Azian berbual-bual bersama salah seorang pelajar yang menerima bantuan

Antara ahli-ahli Puteri yang bertugas di bahagian pendaftaran


Semoga adik-adik kita memulakan langkah mereka dengan penuh bersemangat untuk kembali memulakan sesi persekolahan. Kepada adik-adik yang akan memasuki Tahun 1, selamat melangkah ke alam persekolahan. Kepada adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR dan SPM bagi tahun 2010, belajarlah bersungguh-sungguh kerana hanya dengan memiliki ilmu, kita akan berjaya.....

KURSUS 1PUTERI SANG SAKA BANGSA

Sebagai langkah untuk memantapkan jatidiri ahli-ahli Puteri dalam menghadapi zaman yang penuh dengan pelbagai cabaran ini, Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perak bersama Sekretariat Latihan UMNO Negeri Perak telah menganjurkan Kursus 1Puteri Sang Saka Bangsa. Kursus ini akan diadakan sebanyak 5 siri dan ianya telah bermula pada 4hb Disember yang lalu. Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor telah menghantar seramai 19 orang peserta untuk kursus-kursus yang telah mula dilaksanakan.

KURSUS 1PUTERI SANG SAKA BANGSA (SIRI 1)
4.12.2009 (Jumaat) - 6.12.2009 (Ahad) di Kem PLKN Tegas Mesra Ijok, Batu Kurau.

KURSUS 1PUTERI SANG SAKA BANGSA (SIRI 2)
11.12.2009 (Jumaat) - 13.12.2009 (Ahad) di Kem PLKN Terkuk, Sg Siput.





KURSUS 1PUTERI SANG SAKA BANGSA (SIRI 3)
25.12.2009 (Jumaat) - 27.12.2009 (Ahad) di Kem PLKN Tegas Mesra Ijok, Batu Kurau.



Wednesday, December 16, 2009

SELAMAT TAHUN BARU 1431 HIJRAH

Pejam celik..........pejam celik, begitu cepat masa berlalu meninggalkan kita. Sama ada kita sedari atau tidak, tibanya tahun yang baru, bermakna bertambahlah lagi satu angka dalam usia kita. Sudahkah kita bermuhasabah diri kita?. Apakah yang telah kita lakukan sepanjang usia kita yang telah berlalu? Apakah pula yang bakal kita lakukan untuk tahun-tahun yang akan kita lalui? Semoga segala kesilapan, sekiranya ada, yang pernah kita lakukan sebelum ini akan menjadi pengajaran bagi kita. Perbaikilah diri kita ke tahap yang lebih baik. Sekiranya azam-azam yang pernah disemat sebelum ini masih belum terlaksana sepenuhnya, berazamlah sekali lagi untuk melaksanakan sepenuhnya segala azam tersebut. Selamat Tahun Baru................

DOA AKHIR TAHUN

Doa Akhir Tahun
ini dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata, "Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun".

Doa Akhir Tahun Hijrah


DOA AWAL TAHUN

Doa Awal Tahun ini dibaca 3 kali selepas Maghrib pada malam 1 Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata, "Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan".

Tuesday, November 24, 2009

SELAMAT MENYAMBUT EIDUL ADHA & SELAMAT MENJALANKAN IBADAH QURBAN

Puteri Ipoh Timor mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Eidul Adha kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan Selamat Menjalankan Ibadah Qurban.

Puteri juga ingin menjemput semua rakan-rakan untuk hadir beramai-ramai ke Majlis Qurban UMNO Bahagian Ipoh Timor yang akan diadakan di Surau Cempaka Sari, Ipoh pada hari Sabtu - 28 November 2009 bermula jam 9.00 pagi.

Sunday, November 15, 2009

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN KEPADA SEMUA CALON SPM & STPM

Pada 12 November yang lepas bertempat di Masjid Abidin, Kg Pasir Puteh, Ipoh, Puteri UMNO Ipoh Timor telah mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Bersama Pelajar-Pelajar Tingkatan 5 dan 6 Atas bagi bersama-sama mendoakan kejayaan mereka di dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang bakal diduduki bermula 18 November ini.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh pelajar-pelajar Tingkatan 5 dan 6 Atas yang telah dijemput khusus dari sekolah-sekolah dalam Parlimen Ipoh Timor. Kehadiran ahli-ahli UMNO Bahagian Ipoh Timor serta masyarakat setempat walaupun dalam keadaan hujan yang sangat lebat telah turut menjayakan majlis tersebut.

Majlis tersebut telah dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah dan kemudiannya diikuti dengan Solat Hajat dan Bacaan Yasin serta Solat Isya' berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Badrul. Majlis diakhiri dengan jamuan makan malam.

Puteri ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan majlis tersebut dan kepada adik-adik yang bakal menghadapi peperiksaan, doa dan harapan dari Puteri semoga anda semua beroleh kejayaan yang cemerlang.

Saturday, November 14, 2009

PUTERI BANTU MANGSA BANJIR DI LENGGONG















Suasana selepas banjir surut. Banyak barang yang musnah.








Rombongan Menteri Besar, Perak sedang diberikan taklimat mengenai keadaan banjir.








Ahli-ahli Puteri sedang membantu penduduk kampung memasak secara gotong royong.








Kelihatan Ketua Puteri UMNO Lenggong turut bersama.

Pada hari Jumaat, 13 November 2009 yang lepas, Puteri UMNO Ipoh Timor telah turun bersama-sama Puteri UMNO Perak membantu mangsa banjir di Lenggong, Perak. Setibanya kami di situ, kelihatan jalan-jalanraya dipenuhi lumpur kesan daripada banjir yang berlaku dua malam sebelumnya. Banyak barang yang musnah terutamanya barangan elektrik. Penduduk di situ memaklumkan bahawa banjir tersebut adalah yang terburuk pernah dialami oleh mereka setakat ini. Rombongan YAB Menteri Besar, Perak tiba pada pukul 3.30 petang dan beliau telah meninjau beberapa kawasan yang terlibat dan telah diberikan taklimat mengenai keadaan yang berlaku. Puteri berharap agar mereka yang terlibat dapat bersabar dengan dugaan yang menimpa...