SELAMAT DATANG.....

Anda adalah pengunjung yang ke

Friday, October 22, 2010

TEKS UCAPAN WAKIL PUTERI UMNO NEGERI PERAK DI PERHIMPUNAN AGUNG PUTERI UMNO MALAYSIA 2010


BISMILLLAHIRRAHMANIRRAHIM....

SAUDARI PENGERUSI TETAP DAN SAUDARI TIMBALAN PENGERUSI TETAP,YANG BERHORMAT KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA, YANG BERBAHAGIA SAUDARI NAIB KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA, YANG BERHORMAT WAKIL-WAKIL MAJLIS KERJA TERTINGGI UMNO MALAYSIA, BARISAN PEGAWAI DAN EXCO PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA, KETUA-KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO NEGERI-NEGERI DAN BAHAGIAN-BAHAGIAN, SIDANG PERWAKILAN DAN PEMERHATI YANG SAYA HORMATI SEKELIAN.

NAMA SAYA – ROSNIZA ISMAIL – DARI PERGERAKAN PUTERI UMNO BAHAGIAN IPOH TIMOR – MEWAKILI PERGERAKAN PUTERI UMNO NEGERI PERAK.

SDRI PENGERUSI TETAP,

Terlebih dahulu, marilah kita sama-sama dengan penuh keinsafan, dengan penuh rendah diri, memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana menganugerahkan kita kesihatan yang baik serta kelapangan masa, kelapangan hati, kelapangan fikiran, sehingga kita semua dapat berkumpul sekali lagi di dalam perhimpunan keramat Puteri UMNO pada tahun ini.

Bagi pihak Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perak dan seluruh warga Puteri Negeri Perak, kami ingin menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada YB Dato' Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di atas ucapan dasar beliau yang relevan serta penuh harapan dan tepat dengan semangat tulen perjuangan UMNO.

Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perak yakin dan percaya bahawa kepimpinan Puteri UMNO Malaysia di bawah gandingan teraju kepimpinan YB Dato' Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan YBhg Puan Shahanim Yusof mampu memacu Pergerakan Puteri ke arah gerar kerja yang secara politiknya efektif dalam kita berhadapan dengan zaman yang secara politiknya sangat getir dan mencabar. Puteri Negeri Perak juga berpandangan bahawa Puteri UMNO dari atas hujung rambut hingga bawah hujung kaki mestilah menyambut idea politik baru yang disebut oleh YAB Presiden Parti secara serius sekiranya kita mahu kekal sebagai Parti yang dipercayai dan dipilih rakyat.

PARA PERWAKILAN YANG DIHORMATI SEKELIAN,

Ada orang kata, Puteri tidak bermaya, Puteri lesu dan ada juga orang kata Puteri bukan gerakan politik hanyalah sebuah gerakan sosial UMNO. Tapi jika kita msih ingat, pada awal penubuhan Pureri, telah digariskan 3 pendekatan Puteri yang utama iaitu :

Pertama : PENDIDIKAN – AGENDA WANITA UNTUK PERUBAHAN

Kedua : PERKHIDMATAN – AGENDA PRIHATIN UNTUK WANITA; dan

Ketiga : KESIHATAN DAN KECERGASAN - MELAHIRKAN WANITA SIHAT

Apabila YAB Presiden Parti berkata politik pembangunan sudah kurang berkesan dan kita perlu model politik baru, Pergerakan Puteri Perak berfikiran bahawa kita perlu memberi fokus dan mengutamakan apa yang dipanggil politik khidmat Puteri.

SAUDARI PENGERUSI TETAP

Puteri Perak mencadangkan agar gerak kerja politik khidmat Puteri mestilah mengambil pendekatan yang dilihat 'segar bugar' dan menyentuh ke dasar setiap hati golongan wanita muda dan di antara pendekatan strategik yang sesuai diambil oleh Puteri UMNO adalah keprihatinan terhadap kesihatan. Kita semua tahu bagaimana besarnya impak kesihatan dalam kehidupan, kesihatan yang baik adalah modal kehidupan bahagia. Dan semua orang memberi perhatian serius terhadap isu-isu kesihatan.

Hari ini, kalau kita buka akhbar Utusan dalam sisipan Mega mukasurat 7 dengan tajuknya 'Ingat Oktober Ingat Kanser Payudara' melaporkan perangkaan Pendaftar Kanser Kebangsaan menunjukkan bahawa hampir 70,000 kes baru kanser payudara direkodkan dalam tempoh 2 tahun ini menjadikan ia antara pembunuh utama wanita di Malaysia. 1 daripada 19 wanita dijangkiti kanser payudara. Bayangkan dalam dewan ini, daripada 800 yang ada, 40 berisiko dijangkiti kanser payudara. Daripada 25 AJK Puteri Bahagian saya, seorang sudah kena dan sekarang ini sedang berjuang melawan penyakitnya, saya doakan beliau tabah...

Ini baru kanser, belum lagi penyakit-penyakit lain. Justeru itu, menangani isu kesihatan dan wanita adalah satu pendekatan politik khidmat yang berkesan, bukan sahaja akan memebri sentuhan bermakna amalah menarik minat, menawan hati dan yang penting sekali menawan undi golongan wanita muda. Kita menyambut baik usaha-usaha yang telah dijalankan oleh Puteri UMNO Malaysia dalam menggiatkan program yang bertemakan kesihatan. Program 'Life is Precious', 'Sinar Kasih', Kempen Anti Denggi yang dijalankan oleh Vogue adalah usaha-usaha murni yang perlu dilipatgandakan kerana ianya boleh menarik minat orang muda kepada Puteri. Tetapi ini belum mencukupi dan belum menyeluruh.

Kalau UMNO Malaysia mengadakan Program Juara Rakyat dengan memberi tema-tema khusus kepada setiap program setiap bulan, Pergerakan Puteri boleh menggunakan pendekatan yang sama bermula dengan Bulan Februari, kita ada 'Hari Kanser Sedunia" yang disambut pada 4hb. Bulan Mac, kita ada 'Hari Buah Pinggang Sedunia' yang disambut pada 12hb. 24 Mac pula adalah 'Hari Tibi Sedunia', 8 Mei, kita ada 'Hari Talasemia Antarabangsa', 12 Mei 'Hari Jururawat Sedunia', 31 Mei 'Hari Tanpa Tembakau', 1 Jun 'Hari Susu Ibu Sedunia', 10 Oktober 'Hari Kesihatan Mental Sedunia', 14 NOvember 'Hari Diabetis Sedunia' - selesai program setahun.

Dan lebih memudahkan gerak kerja kita, YB Dato' Ketua Puteri boleh memastikan peruntukan khusus disalurkan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia kepada Puteri-puteri Bahagian seluruh Malaysia. Setuju semua?

Oleh itu, barangkali tepat sekali bila YAB Presiden Parti Perdana Menteri meletakkan Ketua Puteri kita sebagai Timbalan Menteri Kesihatan. (***Dah bagi signal dah tu Dato'.)

Setelah kita mendekati kumpulan pesakit dan masyarakat amnya melalui program-program kesihatan, jangan lupa pesanan Presiden Parti kita, kita mesti bergerak secara inklusif. Jangan lupa golongan yang rapat dengan kesihatan iaitu 57,000 jururawat di Malaysia. Majoriti besar mereka ini adalah wanita muda. Kita perlu dekati mereka.

SIDANG PERWAKILAN SEKALIAN

Obesiti di Malaysia adalah tinggi berbanding negara-negara lain di rantau ini. Sebanyak 21% rakyat di negara ini mengalami kegemukan manakala 6.2% lagi mengalami obesiti. Sekarang ini ramai memperkatakan bukan handphone ajer yang 3G, wanita Malaysia juga ramai yang 3G - 'Gempal, Gemuk dan Gebu'. Gebu tu boleh tahan ler tapi yang 2 lagi tu tak sedap benor bunyinya, kata orang Perak. Wakil MKT kita tersenyum jer bila dengar wanita 3G. Yang sebenarnya Dato', lelaki pun ramai juga yang 3G, malah ada tambah 2G lagi - 'Gendut dan Gondol'.

Namun begitu para perwakilan sekelian, bior ler deme kata kita apa pun, tapi bila kita turun ke pilihanraya-pilihanraya kecil Puteri 3G tampak 'Gagah' dengan suara yang 'Gegak Gempita' sehingga dapat meng'Gegar' pihak lawan. Kalau kami di Perak, kita sorak 'Gegor ! Gempor! '.

Tapi Dato', ada satu lagi penyakit yang tak ada masalah 3G tapi ada pulak masalah 1G yang lain sebab bila sudah ada 'G' yang ini, maka akan bertambahlah 1G lagi. Puteri 'Gedik'. Bila sudah 'gedik', maka ramai ler yang nengok pun rasa 'getek'. Gedik dan getek ini juga adalah isu persepsi yang mesti ditangani oleh Puteri.

Saya ingin berkongsi satu cerita. Sebuah cerita Inggeris yang saya tonton dalam satu babak, ditunjukkan seorang wanita yang berpakaian alim sedang berjalan di kaki lima, ada juga seorang wanita muda sedang lepak dan berpeleseran bersama rakan-rakan di kaki lima itu juga. Jadi, wanita yang berpakaian alim itu tengok wnaita muda itu, atas ke bawah, bawah ke atas. Kemudian wanita alim itu bertanya, "Anakku, boleh tolong tunjukkan saya jalan ke pejabat pos?". Dia pun menjawab, "Oh! boleh makcik. Jalan terus, sampai trafik light, belok kanan, terus sampai bangunan warna biru, belok kiri, ada sekolah, depan sekolah tu pejabat pos". Wanita itu mengucapkan terima kasih. Tapi wanita berpakaian alim itu terus melihat anak muda itu dan berkata lagi, "Anakku, apa kata kalau kamu tinggalkan cara kehidupan yang tidak ketentuan ini dan marilah saya tunjukkan kamu jalan ke syurga". Apa jawab anak muda itu?. "Kamu nak ke pejabat pos pun tak tahu jalan, inikan pulak nak tunjuk aku jalan ke syurga".

Apa mesejnya?. Apa mesej yang boleh kita pelajari?. Mesejnya, kalau kita Puteri nak ajak orang ikut kita, kalau kita Puteri nak ajak orang lain yakin kepada perjuangan UMNO, perjuangan agama bangsa dan tanahair ini, kita mesti, mesti, mesti elok dahulu. Kita mesti pastikan persepsi orang terhadap kita - BAIK.

Saya bercakap mengenai 3G ini, bukannya apa Dato'. Oleh kerana banyak yang gendut dan gebu ni, maka makin banyaklah produk-produk kesihatan di pasaran, ubat kurus, ubat langsing, awet muda, ubat kuat lelaki pun dah banyak dah sekarang. Puteri Perak mohon supaya Kementerian Kesihatan dapat menggiatkan pemantauan terhadap pengeluaran ubat-ubatan yang tidak diluluskan ini dan mengambil tindakan tegas yang bersesuaian. Kita tidak mahu dengar lagi kes-kes yang melibatkan kematian kerana mengambil ubat kurus yang terlarang atau kes-kes kecacatan akibat mengambil ubat kulit tegang yang terlarang.

SAUDARI PENGERUSI TETAP DAN SIDANG PERWAKILAN YANG DIHORMATI SEKALIAN

Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perak menyeru supaya Puteri terus serius dan fokus kepada gerak kerja PRU 13. Jangan kita menyesal kemudian hari. Seperti kata Tan Sri Muhyiddin Yassin - UMNO akan terus memperjuangkan kedudukan orang Melayu di Tanah Melayu ini.

Kalau kita berdosa kepada Allah SWT, kita boleh memohon taubat. Kalau kita berdosa kepada sesama manusia yang masih hidup, kita boleh memohon maaf atas kesilapan kita. Tetapi, saya tidak tahu bagaimana pula kiranya kalau kita berdosa kepada orang-orang yang yang telah pergi sebelum kita, kepada pejuang kemerdekaan dan pejuang keamanan. Dan saya lagi tidak tahu bagaimana kita hendak memohon keampunan daripada cucu cicit kita yang belum lahir kalau kiranya kuasa orang-orang Melayu terus-terusan hilang dan akhirnya nanti bangsa Melayu menjadi melukut di tepi gantang, menjadi pengemis di bumi sendiri.

Kalau 5 ribu tahun dari sekarang, ada pakar arkeologi mengorek Tanah Melayu ini, dan jumpa tulang belulang kita, mereka tak boleh kata ini tulang orang Islam atau ini tulang orang UMNO, tetapi mereka boleh kata, ini tulang orang Melayu. Jangan kita malu menjadi Melayu, , jangan kita lupa kita bangsa Melayu. Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kalau kaum itu tidak mengubahnya.

Orang Melayu merdeka dan tidak lagi miskin, tidak lagi papa. Ada kuasa tetapi mungkin alpa. Alpa dan lalai dengan ujian yang Allah berikan kepada kita. Marilah kita ambil pengajaran dari Al-Quran. Tiga kitab Allah SWT, Taurat, Zabur dan Injil diturunkan kepada kaum Yahudi. Sehingga hari ini kaum Yahudi percaya merekalah kaum yang paling agung di dunia ini. Kaum yang terbaik dan terpilih tetapi oleh kerana mereka bongkak dan angkuh, Allah SWT telah turunkan kitab suci yang terakhir dan yang paling lengkap kepada kaum yang sebelum itu dihina oleh Yahudi iaitu bangsa Arab yang sebelum turunnya Al-Quran adalah penyembah berhala, penyembah batu dan matahari. Kaum Yahudi Quraisy tidak boleh terima hakikat ini, tetapi itulah hakikatnya, dan itulah kekuasaan besar Allah SWT yang akan mengangkat kerajaan yang dikehendakinya dan menjatuhkan kerajaan yang dikehendakiNya jua.

Akhir sekali,

- JANGAN BIARKAN PARTI KITA INI GAGAH HANYA DILAMBANG

- MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI

- YANG SEBENARNYA KERAMAT BUKAN PARTI UMNO

- YANG KERAMAT ITU ADALAH KITA ORANG UMNO

- PARTI UMNO ADALAH SEBENARNYA SATU RAHMAT


"AIR MATA DARAH BERCAMPUR KERINGAT

TERGADAI KUASA AKIBAT SENGKETA

HIDUP UMNO HIDUP BERINGAT

BIAR PUTIH TULANG, JANGAN PUTIH MATA"


Sekian, Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perak mohon menyokong.

WABILLAHITAUFIK WALHIDAYAH WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.


No comments:

Post a Comment