SELAMAT DATANG.....

Anda adalah pengunjung yang ke

Tuesday, September 8, 2009

Shopping Raya Puteri UMNO Ipoh Timor bersama Anak-anak Yatim & Fakir Miskin

'SHOPPING' RAYA PUTERI GEMBIRAKAN ANAK YATIM
Sumber Berita : Sinar Harian @ Perak (Khamis - 10 September 2009)

IPOH - Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor mengadakan Program 'Shopping' Raya Puteri Bersama Anak Yatim dan Fakir Miskin bagi membantu golongan ini membuat persiapan AidilFitri. Tanggungjawab sosial ini diadakan bagi membantu dengan tujuan tidak mahu golongan berkenaan berasa tersisih dan dapat menikmati suasana AidilFitri dengan sempurna.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor, Rosniza Ismail berkata, atas tanggungjawab itu pihaknya menjemput 95 orang kanak-kanak iaitu anak-anak dari Pusat Harian Kanak-kanak Spastik Ipoh, anak-anak yatim dan anak-anak fakir miskin memilih sendiri pakaian mereka menyambut AidilFitri.

"Mereka dibawa membeli belah di salah sebuah pusat pakaian pada sebelah paginya untuk memilih pakaian yang disukai dan selepas itu majlis penyerahan pakaian terbabit diadakan", katanya kepada Sinar Harian.

Turut hadir pada Majlis Penyampaian Pakaian Raya itu adalah Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia merangkap Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor, YB Senator Dato' Azian Osman.

Rosniza berkata, sebelum ini pihaknya menghulurkan bantuan dalam bentuk keperluan harian tetapi tahun ini mengambil inisiatif lain dalam menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

"Pada tahun ini, kita lihat pergerakan sayap dalam UMNO sendiri terutamanya Wanita menyalurkan keperluan asas itu dan Puteri memilih mendekati anak-anak yang kurang bernasib baik ini. Insya-Allah pada tahun akan datang, kita akan anjurkan program kemasyarakatan seumpama ini untuk terus menabur bakti kepada golongan memerlukan demi memastikan nasib mereka turut terbela," katanya.

Selain itu, Rosniza berkata, Puteri bukan sekadar cabang politik UMNO semata-mata tetapi ia adalah pergerakan berprinsipkan generasi wanita prihatin.

"Kami mahu berikan perhatian kami kepada masyarakat terutamanya golongan muda dan ibu tunggal yang mempunyai anak-anak kecil. Kita berharap program ini akan dapat mendekatkan diri Puteri dengan masyarakat agar turut merasai segala pahit manis sebuah komuniti," katanya.

1 comment:

  1. Tahniah Puteri Umno atas kejayaan aktiviti ini. Semoga segala usaha dapat mengukuhkan lagi parti terutamanya bagi Ipoh Timur, insya Allah.

    ReplyDelete