Coretan Ketua Puteri....
Semenjak Negeri Perak ditawan kembali oleh Kerajaan Barisan Nasional pada 5 Februari yang lalu, pelbagai pendapat dan pandangan yang diberikan oleh pelbagai pihak samada pengamal undang-undang, penganalisis politik mahupun individu-individu mengenai keputusan Sultan Perak tidak membubarkan DUN seperti yang dikehendaki oleh Pakatan Rakyat. Jika diambilkira pandangan pihak Pembangkang, sudah tentunya bagi mereka semuanya 'haram' kerana keputusan itu berpihak kepada Barisan Nasional tetapi jika keputusan tersebut menguntungkan mereka, sudah tentu ia menjadi 'halal' bagi mereka. Mereka lupa bahawa Tuanku juga pernah membuat keputusan yang memihak kepada mereka tatkala keputusan PRU 12 menyaksikan tiada satu pun parti di dalam Negeri Perak yang memenangi majoriti kerusi DUN ketika itu, BN - 28, DAP -18, PKR -7 dan PAS -6. Sekiranya Tuanku mencampuradukkan politik dalam membuat keputusan seperti yang didakwa oleh Pembangkang ketika ini, BN lebih layak untuk menubuhkan kerajaan pada masa itu kerana memenangi kerusi terbanyak.
Sebagai seorang pengamal undang-undang (ketepikan pegangan politik saya), sudah tentunya saya merasakan DYMM Sultan telah mengikut segala undang-undang yang diperuntukkan dalam negara ini. Saya terpanggil untuk menulis kali ini bukanlah kerana saya ingin memberikan pandangan saya kerana saya tahu apa pun yang dikatakan oleh saya, maklumbalasnya ialah "...emm!! dah orang UMNO, mestilah sokong...". Tetapi, saya ingin memaparkan pendapat seorang sahabat lama saya yang tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti politik yang saya kira amat baik untuk saya kongsi bersama. Begini pendapat beliau .............
"Jangan Pertikai DYMM Sultan Perak"
oleh : Madzlan Mohamad Husain
Sudah semestinya DYMM Tuanku Sultan Azlan Shah sudah menimbang setiap aspek sebelum membuat keputusan. Bagi saya, untuk mempertikai keputusan Tuanku dan kebijaksanaan beliau menafsir Perlembagaan Negeri adalah satu penghinaan kepada pengalaman dan keluasan akal fikiran Baginda, khususnya tatkala beliau sendiri adalah bekas seorang Ketua Hakim Negara.
Tanggapan bahawa Tuanku boleh diugut dan diperdaya oleh Dato' Seri Najib mahupun BN juga adalah satu penghinaan yang maha dahsyat memandangkan Baginda sudahpun memerintah selama 25 tahun dan cukup masak dengan "politik pengekalan kuasa" memandangkan sistem perajaan di Perak yg agak kompleks.
Negeri Perak mengamalkan sistem giliran dalam menabalkan Sultannya, dan YM Raja Dr Nazrin yang asalnya Raja Di-Hilir (4th in line) cepat "melompat" ke Raja Muda (2nd in line) adalah atas restu kerabat yang ada memandangkan "calon-calon" lain jauh lebih tua dan uzur daripadanya untuk menjejak takhta negeri Perak suatu hari nanti.
Jadi teori konspirasi yang dinyatakan amat sukar untuk ditelan dan dipercayai. Apatah lagi YM Raja Dr Nazrin juga seorang yang dikenali cukup intelek dan tajam akal-fikirannya, amat prihatin dengan kebajikan rakyat (contohnya apabila upacara perkahwinannya sendiri jauh lebih sederhana berbanding sesetengah artis 'fofular', malahan sesiapa yang ingin menaja iklan ucapan tahniah dinasihatkannya agar mendermakan saja wang tersebut kepada anak-anak yatim).
Adakah Sultan dan Raja Muda yang sebegini hebat dan bijak mudah diperdaya dan dimomok-momokkan? Mustahil ... silap-silap si penggugut yang disumpah 7 keturunan tak boleh jejak lagi ke negeri Perak.
Secara logiknya dalam situasi seperti di Perak ini akan berlaku krisis perlembagaan kerana, sebagaimana yg dihujahkan, Perlembagaan tidak memperuntukkan kuasa memecat MB. Tetapi MB pula sengaja tidak mahu memanggil sidang DUN sebab sedar undi tidak percaya boleh dilakukan ke atas beliau, sebaliknya meminta DYMM Tuanku membubarkan DUN. Tuanku mempunyai budi-bicara sepenuhnya untuk tidak membubarkan DUN kerana pilihanraya baru saja berlangsung tidak sampai setahun lalu - there must be a finality to this process even if the majority is so thin, jika tidak selama-lamanya kerajaan tidak boleh ditubuh dan beroperasi malahan kacau-bilau mungkin berlaku bila negeri tak berkerajaan. Takkanlah setiap kali "seri" (jumlah kerusi) begini maka salah satu pihak menuntut pilihanraya baru terpaksa diadakan - ini hanya akan membebankan rakyat dan negeri. Maka di sini DYMM Tuanku nampaknya memilih untuk
(1) menghalang sebarang krisis perlembagaan berlaku tatkala MB cuba bermain "tarik-tali" dengan sengaja mengelak undi tidak percaya di DUN;
(2) menggunakan budi-bicara Baginda untuk memilih seorang MB yg dianggap "command respect of the majority of the DUN" (termasuk 3 ahli DUN yg lompat) supaya kerajaan boleh ditubuh segera dan terus berkhidmat kpd rakyat; dan
(3) mengguna-pakai prinsip "natural justice" iaitu kuasa "to hire and fire" - siapa yg berkuasa melantik, dia jualah yang berkuasa memecat. Dakwaan bahawa DYMM Tuanku boleh melantik tetapi tak boleh memecat, walaupun bersandarkan tafsiran Perlembagaan yang agak kuat, menjadi dangkal dari sudut logik kerana tidak mungkin ada sesuatu "pekerjaan/jawatan" yang tiada peruntukan pemecatan. Memandangkan ada "gap/lacuna" di situ di mana kaedah pemecatan MB tidak dizahirkan dalam situasi seseorang MB sengaja menghalang undi tak percaya diadakan, maka tiada salahnya DYMM menggunakan prinsip 'natural justice' ini apatah lagi lantaran pengalaman luas Baginda dalam bidang perundangan.
Petikan daripada buku Baginda "Constitutional Monarchy" dgn jelas menyebut "Dalam keadaan biasa ..., tuanku tidak boleh meghalang pembubaran ..." - masalahnya Perak sekarang berhadapan dengan situasi yang "luar biasa" di mana MB sanggup bermain tarik-tali dgn DYMM Tuanku dalam menafsir Perlembagaan Negeri.
Maka petikan tersebut sekali lagi hanya bersifat akademik tanpa menghayati kebesaran dan kebijaksanaan DYMM Tuanku dalam mengatasi suatu konflik yg cukup tegang. Walaupun secara peribadi dan prinsip saya sendiri langsung tidak bersetuju dengan tindakan lompat parti dan cara BN beroleh ruang menubuh kerajaan di Perak, saya mempercayai dan menghormati sepenuhnya cara DYMM Tuanku membuat keputusan.
Kita orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya wajar bersyukur kpd Allah dan menjunjung kasih kpd DYMM Tuanku kerana bukan semua raja sebegini bijak dan ikhlas dalam memelihara kepentingan rakyat dan negeri. Mengapalah kita ingin mengikut jejak Amerika Syarikat yang menyerah kepada Mahkamah untuk memutuskan pemenang antara Bush dan Al Gore, sedangkan kita masih ada institusi raja yang mempunyai wibawa menyelesaikan konflik, bersesuaian dgn konteks Perlembagaan dan Undang2 Tubuh Negeri di negara kita sendiri. Wassalam. "
Saya menyeru kepada semua rakyat di Perak agar bersikap rasional serta matang dalam membuat penilaian. Sekiranya kita sebagai hamba kepada Al-Malik perlu berpegang teguh kepada Rukun Islam, maka sebagai rakyat di mukabumi yang mempunyai 'Ketua'/Pemerintah (Ulil-Amr), kita juga berkewajipan untuk mematuhi Rukunegara. Janganlah kerana taksub kepada sesebuah parti, maka kita hilang pertimbangan diri.
Sekian...
-Rosniza Ismail-
No comments:
Post a Comment