SELAMAT DATANG.....

Anda adalah pengunjung yang ke

Thursday, January 29, 2009

BUBAR PUTERI???

Jangan 'bunuh' semangat politik barisan pelapis UMNO
Utusan Online - 29 Januari 2009

Cadangan berani daripada Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail semalam supaya sayap-sayap UMNO khasnya Puteri dan Putera dimansuhkan adalah satu kejutan. Bagaimana tokoh veteran UMNO itu boleh memikirkan pendekatan tersebut jika parti itu benar-benar serius hendak menghapuskan gejala politik wang.

Kita memahami niat beliau melontarkan idea itu supaya UMNO dapat menyusun semula pertubuhan politik yang dianggotai lebih tiga juta ahli itu. Pada fikiran Ahmad Rithauddeen, gejala politik wang di dalam parti boleh dibendung jika pemilihan parti dapat dikurangkan dengan memansuhkan sayap-sayap parti, terutamanya yang baru ditubuhkan.

Tetapi ahli-ahli UMNO dan rakyat yang mengundi parti ini sejak sekian lama sudah memerhati di mana punca sebenar berlaku politik wang. Ia bukan bertapak dalam politik Puteri atau Putera UMNO. Jadi kenapa dua sayap ini yang hendak dihukum.

Sejak Puteri UMNO ditubuhkan pada 2000 dan biro Putera UMNO dilahirkan di bawah sayap Pemuda pada 2005, ahli-ahli sayap ini dikerah sebagai jentera pilihan raya. Pemimpin dan ahli UMNO usah mudah lupa kepada jasa dan sumbangan Puteri dan Putera kepada UMNO. Jangan ketika UMNO dihimpit masalah politik wang yang serius dan hilang pengaruh di kalangan rakyat terutama orang Melayu, dua sayap ini dijadikan tempat melonggokkan kelemahan dan kesalahan parti.

Tanpa angin yang menggoncangkan pokok, tiba-tiba kewujudan Putera dan Puteri dikatakan melemahkan UMNO. Benarkah banyak pemilihan dalam sayap itu menyebabkan lebih banyak gejala terutama politik wang melanda parti. Dakwaan itu harus dibuktikan, bukan sekadar tuduhan. Perasaan golongan muda dalam Putera dan Puteri perlu dijaga. Kesetiaan mereka menyertai UMNO tidak patut dipertikaikan, apatah lagi dengan tuduhan sedemikian.

Soal mereka patut memberi tumpuan kepada pelajaran berbanding politik kerana masih muda dan belum sesuai untuk berpolitik, tidak perlu timbul Apakah sekarang UMNO tidak memerlukan ahli-ahli pelapis daripada golongan muda? UMNO perlu berhati-hati dengan cadangan memansuhkan sayap Puteri dan Putera. Kerana kita bimbang satu hari nanti tiada lagi golongan muda ingin mendekati UMNO.

Sepatutnya UMNO belajar daripada Pilihan Raya Umum 1999 dan 2008. Trend pengundi muda pada dua pilihan raya itu lebih condong kepada parti pembangkang. Bayangkan jika 30 peratus daripada 3.2 juta ahli UMNO yang merupakan pengundi berdaftar itu dimansuhkan keahlian mereka?. Kita tentu boleh membayangkan masa depan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Jadi, UMNO patut mendekati golongan itu dan memahami apa kehendak mereka. Bukan mengetepikan mereka atas perbuatan politik wang golongan lebih senior daripada mereka.
Sesungguhnya penglibatan remaja lelaki dan perempuan daripada usia muda akan memberi satu jaminan kepada pelapis UMNO yang kuat jiwa dan hati untuk masa depan agama, bangsa dan negara.

Politik wang yang menanah dalam UMNO perlu dibersihkan. Tetapi bukan dengan cara 'membunuh' semangat politik anak muda.Jangan 'bunuh' semangat politik barisan pelapis UMNO.

Tuesday, January 20, 2009

DI SEBALIK KEKALAHAN BN DI K.TERENGGANU

Kegagalan sayap BN
Oleh ZULKIFLEE BAKAR (Wartawan Utusan)
Utusan Malaysia - 20.1.2009

JIKA Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu dijadikan ukuran berhubung sambutan generasi muda terhadap UMNO, adalah jelas parti berkenaan terpaksa mengakui bahawa mereka gagal menarik golongan itu. Ini kerana berdasarkan jumlah undi yang diperolehi oleh calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, kesemua saluran undi yang melibatkan generasi muda menyaksikan BN tewas. Ia juga bermakna selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu yang mencatatkan BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, generasi muda semakin menjauhi UMNO dan BN.

Sebaliknya, tumpuan mereka lebih kepada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala bukan Melayu pula lebih cenderung menyokong DAP. Trend ini seharusnya tidak dibiarkan oleh UMNO dan BN kerana dalam pilihan raya umum akan datang 49 peratus daripada keseluruhan pengundi adalah terdiri daripada pengundi muda.

Oleh itu, kegagalan di Kuala Terengganu seharusnya benar-benar memberikan pengajaran kepada BN terutamanya UMNO supaya melakukan langkah yang lebih agresif untuk memastikan pengundi muda tidak terus meninggalkan mereka.

Sebenarnya, di Kuala Terengganu, sejak dari awal lagi penulis sudah merasakan golongan berkenaan tidak akan menyebelahi BN. Ia bukan sahaja berdasarkan kepada gelagat golongan muda yang begitu megah mengibarkan bendera pembangkang di jalan-jalan raya, malah program-program yang diatur oleh Pemuda atau Puteri juga dilihat sebagai pendekatan yang sudah ditelan zaman.

Dalam soal ini, pemimpin dari luar yang datang termasuklah Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Puteri, Datuk Noraini Ahmad tidak boleh dipersalahkan kerana mereka hanyalah datang membantu.

Apa juga yang mereka lakukan tidak akan berkesan seandainya sejak awal lagi Pemuda dan Puteri UMNO di peringkat negeri sememangnya tidak popular di kalangan generasi muda. Ia jelas apabila program-program Pemuda khususnya hanya dihadiri oleh mereka yang sudah lama berada dalam Pemuda dan bukannya pengundi-pengundi baru rakyat tempatan.

Lebih malang lagi, menurut sumber, Pemuda UMNO negeri terutamanya, masih dilihat berimej elit sehingga ia menyukarkan usaha untuk menarik golongan muda bersama-sama dengan parti itu. Keadaan menjadi lebih buruk apabila jentera Pemuda yang datang dari luar termasuk mereka yang sesetengahnya bertaraf pemimpin masih belum mahu belajar budaya tempatan. Selain bermegah dengan menaiki kereta-kereta mewah, mereka masih kekal berkumpul di coffee house dan lobi-lobi hotel, bukannya keluar membantu berkempen. Penulis melihat sendiri bagaimana ketika hari pengundian di sebuah hotel terkenal di Kuala Terengganu, berpuluh-puluh ahli Pemuda berkumpul dan berbual sesama mereka, sedangkan ketika itu jam menunjukkan pusat-pusat pengundian mula dibuka.

Suasana ini berbeza dengan ahli-ahli Pemuda Pas yang sanggup semalaman berada di pondok-pondok panas dan terus bekerja apabila fajar menyingsing bagi meraih undi. Kesudahannya menurut satu sumber BN, ketika Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat pondok-pondok panas tertentu, tiada seorang pun anggota Pemuda yang berada di situ. Semua ini menimbulkan pertanyaan apakah motif sebenar ribuan anggota Pemuda datang ke Kuala Terengganu? Apakah mereka benar-benar datang untuk berkempen bagi memenangkan calon BN atau datang dengan niat berkempen sempena pemilihan UMNO Mac nanti?

Seperkara lagi, beberapa pihak yang berada di Kuala Terengganu sepanjang pilihan raya berlangsung, turut menyifatkan segala program yang dilaksanakan oleh Pemuda boleh dianggap sudah lapuk dan tidak sesuai digunakan lagi. Ini termasuklah bengkel memperbaiki motosikal yang pada pandangan penulis hanya membuang masa kerana ia tidak memberi keuntungan politik jangka panjang.

Mungkin ramai yang hadir tetapi persoalannya adakah mereka yang datang itu menyelami perjuangan UMNO atau lebih tepat lagi akan memangkah BN?

Justeru tidak keterlaluan jika dikatakan sepanjang pilihan raya Kuala Terengganu, jentera Pemuda dianggap tidak sehebat Dewan Pemuda Pas yang dikatakan memainkan peranan penting dalam usaha memastikan kemenangan calon mereka. Semua ini terjadi kerana Pemuda UMNO negeri ibarat hidup segan mati tidak mahu dan hanya akan bergerak jika ada pemimpin negeri datang atau ketika musim pilihan raya sahaja. Kegagalan mereka berfungsi sekali gus membawa bencana kepada BN.

Kita tidak boleh mempersalahkan sangat jentera Pemuda dari luar kerana mereka bergantung kepada jentera tempatan. Ini termasuklah dalam mengatur perang saraf - salah satu senjata Pas yang paling berkesan menyerang BN ketika pilihan raya berlangsung. Penulis difahamkan Pemuda UMNO sememangnya sudah mengatur team untuk tujuan itu, tetapi entah di mana silapnya sehingga ke hari pengundian hanya beberapa helai risalah sahaja yang dikeluarkan.

Bagi Puteri pula, mereka kini bukanlah lagi sebuah pasukan yang digeruni oleh pembangkang. Jika dalam pilihan raya kecil sebelum tahun 2004 dulu Puteri UMNO dianggap salah satu senjata ampuh berikutan keberanian mereka meredah setiap kawasan bagi meraih undi termasuk di dalam rumah pembangkang tetapi semangat perjuangan berkenaan semakin luntur akibat dikaburi dengan jawatan dan kedudukan. Apa yang berlaku di Kuala Terengganu ialah Puteri hanya menumpukan perhatian di zon selesa iaitu di kawasan yang kalau mereka tidak masuk pun pengundi tetap akan memilih BN. Keadaan ini berbeza dengan suatu ketika dulu apabila Pas begitu bimbang dengan kehadiran Puteri.

Pengalaman penulis ketika Pilihan Raya Kecil Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri Anak Bukit yang menyaksikan bagaimana Pas terpaksa melipat gandakan pergerakan Dewan Muslimatnya bagi menghadapi Puteri UMNO sudah tidak kelihatan lagi. Lebih malangnya lagi apabila ada laporan yang menyatakan terdapat ahli-ahli Puteri yang masuk ke kampung-kampung untuk berkempen, berpakaian seperti hendak pergi 'bershopping', biarpun mereka mengetahui bahawa mereka berada di kawasan luar bandar. Bagi penulis, gelagat yang ditunjukkan oleh Puteri sepanjang pilihan raya di Kuala Terengganu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sejak hari penamaan calon lagi, beberapa pemimpin Puteri yang berbual dengan penulis termasuk ada antaranya bertaraf YB, lebih banyak bercakap soal pemilihan parti pada Mac ini berbanding strategi yang akan digunakan untuk menumbangkan Pas.

Berdasarkan apa yang dipaparkan, jika BN benar-benar ingin menarik perhatian generasi muda menyokongnya, satu usaha untuk memberi nafas baru kepada Pemuda dan Puteri perlu dilakukan. Ini termasuklah kebijaksanaan memilih pemimpin yang akan menerajui kedua-dua sayap berkenaan mulai Mac nanti. Pemimpin yang akan dipilih bukan sahaja mempunyai idea bagi menarik sokongan generasi muda tetapi juga mempunyai karisma untuk disukai rakyat. Ini kerana dalam pilihan raya segala faktor akan diambil kira termasuklah bagaimana penampilan seseorang pemimpin itu.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu seharusnya menyedarkan kepimpinan dan ahli-ahli kedua-dua sayap tersebut bahawa cabaran yang menanti mereka bukanlah sedikit. Tiada gunanya kalau kita hanya sekadar popular di kalangan ahli sahaja sedangkan apabila pilihan raya rakyat menolak BN. Kuala Terengganu sudah membuktikan fakta itu!

AL FATIHAH...SEMOGA ROH MEREKA DICUCURI RAHMAT


Pada 17.1.2009, UMNO Bahagian Ipoh Timor telah dikejutkan dengan satu berita yang amat menyedihkan. Abang sulung kepada Dato' Azian bin Osman iaitu Ahmad Supian bin Osman telah pulang ke rahmatullah akibat terlibat dalam satu kemalangan jalanraya bersama anak lelaki beliau, Hezzeq Sany bin Ahmad Supian. Ahmad Supian atau lebih dikenali dengan panggilan 'Yeop' di kalangan rakan-rakan begitu dekat di hati ahli-ahli UMNO Ipoh Timor. Pemergiannya amat dirasai kerana pada masa hayat beliau, beliau merupakan seorang yang begitu bersemangat dalam memperjuangkan nasib orang-orang Melayu. Beliau juga amat dikenali dengan sikap gurau sendanya yang membuatkan kita sentiasa merasa gembira jika beliau berada bersama. Semoga roh Allahyarham berserta roh anak beliau ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al Fatihah.........




SELAMAT PENGANTIN BARU NORSHARIZA DAN ABDUL RAHMAN

Selamat Pengantin Baru diucapkan kepada Sdri Setiausaha kita, Norshariza (Ija) yang telah selamat melangsungkan majlis perkahwinannya dengan pasangannya, Abd Rahman pada 17 Januari 2009 yang lalu. Puteri mendoakan agar Ija dan suami kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

Rakan-rakan Puteri yang hadir memeriahkan majlis.


Yang bujang-bujang tu bila pulak?


Para tetamu sedang menjamu selera.

Thursday, January 15, 2009

PILIHANRAYA KECIL KUALA TERENGGANU

Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu hanya tinggal 1 hari lagi. Keputusan sama ada BN akan mengekalkan Parlimen P.36 akan terjawab pada 17.1.2009 ini. Semuanya akan ditentukan oleh pengundi-pengundi di dalam Parlimen P.36. Kepada pengundi-pengundi muda, Puteri Ipoh Timor mengharapkan agar mereka membuat pilihan yang tepat. Jalankanlah tanggungjawab kita sebagai Rakyat Malaysia dengan melaksanakan hak kita sebagai seorang pemilih. Kita yang menentukan masa depan negara kita.

Program 'Doktor Turun Padang' telah dijalankan oleh Puteri UMNO sebagai satu langkah untuk membantu penduduk-penduduk kampung dengan memberikan rawatan percuma.

Exco Puteri UMNO Malaysia, Ismalina Ismail membantu seorang warga emas pulang ke rumahnya di Ladang.


Ketua Puteri UMNO Malaysia, Dato' Noraini Ahmad melihat seorang kanak-kanak yang sedang ditindik telinganya.

Puteri Ipoh Timor ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada jentera Puteri yang bertungkus lumus membantu jentera BN dalam berkempen untuk memenangkan calon Barisan Nasional di Kuala Terengganu. Semoga segala usaha Puteri dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara akan diberkati oleh Allah S.W.T. Sama-samalah kita berdoa semoga kemenangan berpihak kepada Calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid. Insya Allah......

Sekitar Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu

YA ALLAH YA TUHANKU......ENGKAU SELAMATKANLAH BUMI PALESTIN