SELAMAT DATANG.....

Anda adalah pengunjung yang ke

Wednesday, October 14, 2009

MENGGARAP 1PERJUANGAN, MENGUKUH PUTERI, MENJULANG PARTI - Tema Ucapan Dasar Ketua Puteri


Puteri perlu perbetul landasan perjuangan

Perubahan mesti menjiwai keperluan golongan muda

KUALA LUMPUR: Puteri Umno perlu menukar gerak kerja jentera parti selaras matlamat pindaan perlembagaan untuk melaksana tranformasi bagi memastikan kesinambungan Umno sebagai parti yang menjiwai keperluan golongan muda.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata perubahan itu dituntut kerana cabaran yang dihadapi parti sangat besar selain membuktikan sayap berkenaan memainkan peranan penting, bukannya sekadar tempelan semata-mata.

Sehubungan itu, katanya, 320,000 ahli Puteri di seluruh negara perlu mengubah minda dan bangkit membetulkan landasan perjuangan demi menyelamatkan parti keramat itu.

"Transformasi menuntut kita berkhidmat untuk semua, gerak kerja kita mesti ke arah itu... Kita tidak boleh menjadi seperti kad 'touch n go' yang semangatnya hanya berkobar-kobar ketika mendengar pemimpin berucap, namun sebaik sampai ke cawangan atau bahagian, hilang kesungguhan.

"Kita mesti berubah, bukan setakat cuba berubah atau kena berubah, inilah iltizam, kehendak rakyat...setiap dari kita mesti diikat rasa gerun, takut akan cabaran di sekeliling kita, hanya dengan kegerunan dan kebimbangan ini, kita akan bekerja kuat demi menyelamatkan parti, agama, bangsa dan negara," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sulung pada Perhimpunan Agung Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Perhimpunan disertai 789 perwakilan itu turut dihadiri isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta bekas Ketua Puteri, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Azalina Othman Said.

Pada majlis itu, Noorainiee turut melancarkan laman web portal Puteri, www.puteriumno.my dan anugerah kepada tiga Tokoh Pelajar Terbaik.

Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, berkata sindrom selesa hanya akan menjahanamkan parti serta meletakkan kedudukan parti yang memperjuang nasib bangsa Melayu itu dalam keadaan bahaya.

Beliau berkata, pilihan raya umum Mac 2008 dan tujuh pilihan raya kecil dijadikan pengajaran dan mesti diakui sebagai sebahagian daripada punca kemerosotan prestasi pergerakan itu.

"Kita gagal untuk mendapat keyakinan golongan muda, memastikan mereka berpihak kepada kita, sedangkan lebih 40 peratus pengundi adalah di kalangan usia kita.

"Apa gunanya kita memperjuangkan keahlian automatik ahli Puteri jika kita sendiri enggan melaksana program dirancang, apa guna kita melanjut usia berada dalam Puteri jika kita sendiri enggan matang dan tidak menghormati tanggungjawab diamanahkan.

"Kita mesti merenung dan menilai adakah selepas lapan tahun kita mempunyai arah tuju yang benar menyokong perjuangan parti dan berperanan sebagai penggerak generasi muda yang prihatin terhadap perjuangan agama, bangsa dan negara," katanya.
Sumber : Berita Harian
(untuk teks ucapan penuh Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO Malaysia klik di sini

No comments:

Post a Comment